PRU14: PAS Bina Kekuatan Sendiri

2663

Oleh KAM

KUALA NERUS: PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan fitnah bahawa parti itu akan bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang dilemparkan oleh musuh.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata sikap lunak PAS terhadap Umno itu merupakan satu strategi yang menguntungkan partinya.

Katanya, berdasarkan perkembangan politik semasa PAS telah membawa Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dalam masyarakat.

“PAS tidak akan bergabung dengan Umno tetapi PAS telah mengubah strategi politiknya daripada suatu ketika dahulu kita (PAS) tegang dengan Umno dan pada hari ini kita lunak dengan ahli-ahli Umno untuk tarik dia.

“Sebab ramai di kalangan orang Umno sendiri yang kecewa dengan Dato’ Seri Najib (Perdana Menteri) dan kecewa dengan parti Umno,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Markaz PRU14 bagi Unit Peti Undi (UPU) Gong Datok, N09 Tepoh, di Cawangan PAS Pak Tuyu, Tepoh, Sabtu 27 Januari.

Menurutnya, pada PRU13 lalu PAS berada dalam satu Pakatan Rakyat bersama Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP atas prinsip Tahaluf Siasi.

Namun, katanya PAS terpaksa keluar gabungan itu kerana DAP secara terang-terangan menentang agenda parti yang sebelum ini dipersetujui bersama dalam Pakatan Rakyat.

“PAS sebelum ini berada dalam satu gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP atas prinsip Tahaluf Siasi.

“Tetapi, sekarang PAS keluar dari pakatan itu kerana DAP telah melangar syarat-syarat dalam Pakatan Rakyat. Antara bukti paling jelas DAP lawan termasuk dalam isu Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 baru-baru ini.

“Apabila mereka lawan, mereka tentang. Maka, itulah keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) terpaksa PAS ambil keluar dari Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh menjelaskan PAS sebuah parti dinamik yang sedang membina kekuatannya sendiri.

“Apabila PAS keluar dari Pakatan Rakyat, PAS tidak bersendiri. Sebaliknya kita buat tranformasi imej yang membawa satu budaya politik baharu dalam PAS iaitu BPMS.

“Kita buat baik dengan orang Umno sebab nak tarik orang Umno kepada PAS. PAS buat kerjasama dengan parti-parti kecil lain seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

“Kita (PAS) bina kekuatan dengan NGO-NGO dengan lebih 200 NGO (Badan Bukan Kerajaan) seluruh negara yang boleh duduk bersama dengan PAS.

“Kita ada NGI iaitu individu berpengaruh yang bukan orang kerajaan. Kita tarik mereka ini untuk bersama dengan PAS,” jelasnya.

Oleh itu, katanya PAS kini sangat bersiap sedia untuk memerintah bukan sahaja dalam negeri juga negara Malaysia.

Menurutnya, PAS telah buat satu dokumen yang dinamakan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 dan bukan hanya manifesto PRU14 sahaja.