PRU14; Jentera PAS Tidak Bantu Parti Lain

1584

KUALA NERUS – Jentera pilihan raya PAS termasuk peringkat sayap parti itu tidak akan sesekali membantu parti lain kecuali PAS dan Gagasan Sejahtera.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia sekaligus memperkukuh pendirian bahawa PAS akan memberi sepenuh tumpuan membantu parti menghadapi PRU14.

Berbanding sebelum ini ketika PAS dalam PR, beliau berkata, jentera parti PAS turut bertungkus lumus bekerja memenangkan parti PKR dan DAP.

“Pilihan raya kali ini kita bersama jentera PAS. Kita tidak ada hubungan tahalluf dengan mana-mana kecuali dalam Gagasan Sejahtera.

“Komitmen kita, semua jentera kita, kewangan kita, elaun, duit kita untuk menjayakan agenda perjuangan PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan-Dewan Pas di tapak Fastaqim 2.0, di sini, pada Sabtu 30 Oktober.

Bercakap mengenai pelancaran tersebut, jentera Pas di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap sedia berhadapan PRU14.

Menurutnya, kehadiran pengunjung selama dua hari Fastaqim 2.0 berlangsung yang melabuhkan tirainya hari ini juga di luar daripada jangkaan.

“Saya melihat komitmen sangat-sangatlah baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran jentera pilihan raya PKR Terengganu yang turut dilancarkan hari ini, beliau menjelaskan pihaknya tiada hak menghalang mana-mana parti berbuat demikian.