Oleh KAM
MARANG – PAS menyarankan kepada rakyat dan pengundi yang berhasrat mahu merosakkan undi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini agar bertindak bijak dengan memberikan undi itu kepada PAS.
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata ada di kalangan rakyat yang menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) serta kecewan dengan Pakatan Harapan.
Justeru, katanya golongan tersebut mahu mengadakan protes dan berkempen bagi merosakkan undi pada pilihan raya kali ini.
“Kali ini biar PAS pula jaga rakyat khususnya di Terengganu selepas PRU14 kerana Umno telah rosak, BN tidak boleh diharapkan lagi.
“Mereka (rakyat) juga kecewa dengan Pakatan Harapan. Oleh itu, berilah undi kepada PAS pada pilihan raya nanti.
“Kita sekarang bukan bincang untuk diri kita, bukan untuk pimpinan yang ada sekarang di pentas ini. Tapi, kita bincang untuk masa depan anak-anak kita yang berumur satu, lima tahun akan datang ini,” ujarnya di hadapan ratusan anak muda.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Anak Muda Marang (Hikam) 2.0 di Kampung Padang Mengkuang, Batu 10, Pengkalan Berangan, di sini, malam tadi.
Menurutnya, apa yang diperjuangkan oleh pemimpin PAS hari ini mengenai nasib dan masa depan generasi akan datang.
Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berharap agar ‘mood’ yang ada kepada rakyat hari ini kekal bersama PAS hingga berlakunya PRU14.
“Kita (PAS) telah menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payung, Dun Alor Limbat, Dun Rhu Rendang dan Parlimen Marang mesti dikekalkan.
“Kita (PAS) kena tekad untuk rampas kembali Dun Pengkalan Berangan yang gagal dimenangi pada PRU13 lalu, Insya’Allah,” tegasnya.
Oleh itu, kata Ustaz Idris pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) supaya mendekati orang Umno supaya agar bersama dengan PAS.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Ketuanya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Timbalan Pesuruhjaya PAS III Terengganu, Yahaya Ali, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Yusof Abdul Hadi dan Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong.











