Oleh : Adli Mohamad
KUALA TERENGGANU- Antara langkah bagi menyelesaikan isu kelewatan penyiapan Projek Bebas Cukai, Pulau Bayas Tasik Kenyir, Kerajaan PAS Negeri Terengganu mengambil tindakan untuk ditender semula.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, langkah itu merupakan pertimbangan yang sedang dilakukan oleh kerajaan PAS Negeri Terengganu.
“(Ianya) untuk kerja-kerja penyiapan oleh pihak kontraktor yang layak dengan skop dan rekabentuk bangunan asal.
“Yang kedua projek ditender semula untuk kerja penyiapan dengan membuat perubahan reka bentuk dan spesifikasi binaan bagi membolehkan projek dapat disiapkan dan digunakan dengan kos yang lebih rendah,” ujarnya menjawab persoalan diatas kelewatan projek bebas cukai berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, pada 15 Julai.
Cadangan tersebut adalah diantara langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menyiapkan projek berkenaan yang mengambil kira beberapa faktor dengan melakukan kajian yang lebih menyeluruh tentang hala tuju projek berkenaan.
Jelasnya, oleh kerana projek berkenaan yang telah lama tertangguh, maka menyebabkan kosnya meningkat dari semasa ke semasa.
” Jumlah denda yang telah dikenakan kepada projek berkenaan sehingga 30 April 2019, adalah sebanyak RM 10, 432, 098.70,” ujarnya.
Menurutnya perbelanjaan semasa projek berkenaan adalah RM 188, 117, 514.63 daripada kos keseluruhan projek RM 243, 555, 183.35 bagi kesemua enam pakej yang perlu disiapkan.
“Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan perkara ini kerana jika diteruskan kos yang diperlukan melebihi RM 74 juta.
“Sedangkan peruntukan yang ada hanya berbaki RM 55 juta,” tegasnya.