Projek ‘Mini Putrajaya’ Ambil Tanah Rakyat Terlalu Murah

1162

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/12/BBesarDev&Mizac%20001.jpgSalah seorang pemilik tanah berkenaan, Zulkifli Yusof, 47, (Gambar kiri) berkata, sebelum ini, kerajaan menetapkan harga tanah yang didakwa terlalu murah dan tidak berbaloi dengan nilai harga tanah pada masa kini iaitu hanya RM6.45 untuk sekaki persegi.

“Walaupun pada dasarnya, kami penduduk di sini begitu terkilan kerana kampung ini terbabit dengan projek ‘mini Putrajaya’ yang akan menggunakan keseluruhan tanah penduduk, kami terpaksa menerima seadanya kerana langsung tidak berniat mahu menolak pembangunan.

“Namun apa yang mendukacitakan, ia menyebabkan kami terpaksa mencari tanah baru untuk berpindah tetapi tanah kami hanya dinilai dengan harga RM6.45 sekaki iaitu nilaian tanah pada 20 tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dengan nilai harga tanah ditetapkan itu, memberi kesukaran kepada penduduk mencari tanah baru untuk berpindah, sekali gus menyebabkan penduduk hilang punca mencari kediaman baru sedangkan projek ‘mini Putrajaya’ berkenaan sudah bermula secara berperingkat.

“Kini kami buntu memikirkan ke mana arah kami sekeluarga selepas ini. Kami masih tidak mempunyai tempat tinggal sedangkan kami lihat, projek pembangunan berkenaan sudah pun bermula secara berperingkat.

“Dengan harga tanah ditawarkan begitu murah, kami tidak mampu membeli tanah tapak rumah (tanah lot) lain di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani Muda, 67, pula mendakwa, sebelum ini ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kerajaan pernah berjanji akan menggantikan tanah di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bayas namun sehingga kini, janji berkenaan masih tidak ditunaikan.

“Kerajaan berjanji akan mengotakannya dalam tempoh setahun bermula tarikh perjanjian, justeru, kami terlalu mengharapkan agar kerajaan melunaskan janji pilihan raya diberikan kepada penduduk di sini,” katanya.

Projek pembangunan ‘mini Putrajaya’ membabitkan Kampung Pak Bang dan kawasan sekitar yang terletak lebih kurang setengah kilometer dari Mydin Mall dan Giant iaitu di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar

Bacaan sebelum ini:

KT Central ‘Terminal Termoden’ dan Mini Putrajaya; Bakal Dibina Atas Penderitaan Rakyat

Lebih 200 ekar Tanah Orang Melayu Akan Menjadi Korban Pembangunan