Projek ECRL Jamin Utamakan Tenaga Kerja Tempatan

139

Oleh : Afiq Fahmi

DUNGUN – Kerajaan memberi jaminan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Terengganu, mengutamakan 70 peratus tenaga kerja tempatan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Sebelum ini parlimen dimaklumkan bahawa sehingga Ogos 2021, sebanyak 2827 orang warga tempatan telah diambil menjadi sebahagian tenaga kerja bagi projek mega ini.

“Jumlah ini mewakili sebanyak 44 peratus daripada jumlah keseluruhan seramai 6,415 pekerja,” ujarnya melalui kenyataan rasminya, pada Jumaat 24 September.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata, penjelasan itu diberikan kerajaan sebagai menjawab soalan yang dikemukakannya ketika perbahasan Usul Menjunjung Titah Kasih Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 22 September.

Oleh itu, menurut beliau, kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) turut memberi jaminan tersebut dalam pelaksanaan projek mega itu.

Menurutnya, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu dengan jajaran sepanjang 250 kilometer yang menelan kos sebanyak RM15 Bilion

“projek ini berupaya membawa perubahan bagi negeri Terengganu seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh serta dijangka mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan.” tambah beliau.