PRN SABAH: Lebih 100 Petugas PAS Terengganu Berkampung Bantu DUN Merotai

99

TAWAU – Lebih 100 Petugas PAS Terengganu telah digerakkan ke Sabah bagi membantu kempen calon PAS-Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu, YB Dato’ Hj Ariffin Deraman, berkata jentera PN di kawasan tersebut berada dalam keadaan baik dan kukuh, ditambah pula dengan sokongan jentera luar.

“Kempen PN di Merotai menerima sokongan padu daripada jentera luar, khususnya dari PAS Terengganu dan PAS Melaka.

“Sehingga hari ini, kita sudah ada dalam 80 petugas yang bertugas penuh masa… dan jumlah ini akan berterusan sehingga pilihan raya selesai,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, komitmen petugas dijangka kekal antara 60 100 orang berkampung di Merotai dan lebih ramai akan tiba dari Terengganu serta PAS Melaka menjelang hari pengundian.

Ariffin turut optimis dengan peluang PN untuk merampas kerusi tersebut.

“Apabila kita masuk pilihan raya, memanglah kita mahu menang dalam pilihan raya kali ini,” tegas beliau.

Mengulas mengenai isu setempat, Ariffin berkata keadaan infrastruktur di Sabah, termasuk di Merotai, menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian semasa kempen.

“Isu-isu di sini lebih kepada isu tempatan… dari segi infra, jalan raya memang kalau nak banding dengan Terengganu, lebih teruklah,” ujarnya.

Beliau turut menyebut masalah bekalan air yang masih membelenggu penduduk.

“Saya duduk dah dua hari di sini, kita memang terasa sikit masalah air,” tambahnya.

Ariffin yakin bahawa calon PN, Tuan Haji Hasan Haris, sebagai anak jati Merotai, lebih memahami keperluan dan permasalahan rakyat setempat.

“Harapan saya, insya-Allah, kami akan bantu sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan khususnya di DUN Merotai,” katanya.

Proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan SJK(C) Yuk Chin menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi kerusi DUN Merotai.

Calon PN, Tuan Haji Hasan Haris, akan berdepan penyandang kerusi daripada Parti Warisan, Sarifuddin Hata, calon Pakatan Harapan, Datuk Ruji Ubi, bekas Ketua Setiausaha (KSU) KDN, dan calon Parti Impian Sabah, Rhyme Kassim.

DUN Merotai yang berada di bawah Parlimen Kalabakan mempunyai 26,179 pengundi berdaftar, sebelum ini diwakili Sarifuddin Hata (Warisan) memenangi kerusi ini dengan majoriti 1,587 undi pada PRN lalu.

Pada PRN Sabah kali ini, PAS yang berada di bawah PN bertanding di enam kerusi DUN, manakala Bersatu bertanding di 41 kerusi, dengan semua pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).