PRN Sabah; DUN Mana PAS Bertanding Masih Teka -Teki

417

KUALA TERENGGANU – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana akan ditandingi oleh dalam pilihan raya negeri sabah yang akan datang masih menjadi teka teki.

Menurut Naib Presiden PAS YAB Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, keputusan ini masih belum dimuktamadkan, termasuk penyertaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Di pihak PAS, saya percaya juga sedang diambil langkah serupa di peringkat Perikatan Nasional (PN) untuk terlibat dalam Pilihan Raya di Sabah.

“Cuma keputusan terakhir akan diketahui pada waktu terdekat tentang kerjasama politik yang bagaimana akan berlaku di Sabah.

“Jadi buat masa ini semua jentera daripada PAS, telah turun ke DUN tertentu di Sabah untuk membantu jentera tempatan,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Rabu lalu, ditanya mengenai PRN Sabah.

Beliau memaklumkan, jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS masih belum diputuskan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mengesahkan bahawa PAS akan meletakkan calon pada PRN ke-17 yang dijadualkan berlangsung tahun ini, namun rakan kerjasama dan logo yang akan digunakan masih belum dimuktamadkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS akan bertanding di bawah tiket PN bagi PRN Sabah yang dijangka diadakan pada September atau Oktober depan.

“Jawatankuasa PN sudah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan strategi mengukuhkan jentera parti di Sabah, termasuk menyusun semula organisasi dan persediaan menghadapi PRN.

“Langkah pengukuhan ini turut membabitkan parti komponen seperti BERSATU, GERAKAN dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP),” katanya.

Menurut beliau, PAS telah mengenal pasti sekurang-kurangnya enam daripada 73 kerusi DUN Sabah untuk ditandingi pada PRN akan datang, dengan kemungkinan menggunakan logo mana-mana parti gabungan dalam PN.