PRK Kemaman Besar Bagi PAS

114

KEMAMAN – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang berkata PAS tidak menganggap kecil kepentingan Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kerana parti itu bakal berdepan dengan jentera pilihanraya Pakatan Harapan (PH) dari seluruh negara.

“Parlimen Kemaman walaupun kecil tetapi besar dari segi politiknya kerana PAS berdepan dengan jentera pilihanraya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari seluruh negara.

“Seluruh jentera pilihanraya PH serta jentera kerajaan pusat akan digunakan untuk berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) dan PAS di parlimen Kemaman,” jelasnya.

Justeru katanya jentera pilihanraya PAS perlu dikerahkan semaksimum mungkin bagi mempertahankan dan menambahkan jumlah majoriti kemenangan melebihi 27 ribu undi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PRK P040 Kemaman di Padang Astaka, Chukai di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu Datuk Razali Idris.

Menurut Dato’ Husain lagi PRK Parlimen Kemaman bukan kehendak rakyat Terengganu tetapi onar yang dibuat oleh UMNO/BN kerana tidak berpuas hati dengan keputusan rakyat memilih calon PAS sebagai ahli parlimen di kawasan tersebut.

Katanya, Jika berlaku kesalahan rasuah yang dilakukan oleh 200 orang sekalipun ini sebenarnya tidak menjejaskan majoriti kemenangan PAS di Kemaman.

“UMNO mahu tutup aib dan malunya sekali gus mahu mengembalikan semula kekuatannya dalam pilihan raya kecil ini,” ujarnya.

Sebab itu katanya UMNO memfailkan petisyen pilihanraya bagi Parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sebelum ini.