Pil WY Percuma Untuk Pelajar!

676


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Roslan Abdul Wahid berkata pengedar semakin licik mengumpan pelajar memberi pil khayal secara percuma terutama pil jenis WY, sebelum mereka ketagih.

“Penggunaannya sebanyak tiga kali akan menyebabkan pelajar menjadi ketagih dan sukar untuk dipulihkan, dan apabila pelajar ini ketagih, pil-pil berkenaan akan dijual kepada mereka,” katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Pil-pil berkenaan dijual mengikut harga semasa, antara RM30 hingga RM70 sebiji.

Roslan berkata peningkatan pelajar sekolah di Terengganu yang terlibat dengan bahan terlarang itu agak membimbangkan kerana ujian air kencing yang dibuat secara rawak ke atas mereka, kebanyakannya adalah positif pengambilan dadah.

Penggunaan pelajar sebagai keldai dadah juga semakin membimbangkan, dengan tiga pelajar yang digunakan untuk mengedar dadah kepada rakan pelajar lain ditahan sejak awal tahun ini.

“Terbaru, seorang pelajar berumur 14 tahun ditahan bersama seorang lelaki di sebuah pejabat agensi pelancongan di Kampung Pak Tuyu Isnin lepas. Polis menemui 17 pil WY bersama mereka,” katanya.

Selain itu, ada juga pengedar dadah yang menggunakan taktik baru mengelak daripada pihak berkuasa dengan menyorok dadah dalam peralatan elektronik.

Roslan berkata modus operandi terbaru itu terbongkar berikutan serbuan pihak polis ke atas sebuah rumah di Paka, Dungun yang mendapati dadah jenis syabu seberat 6.3 gram bernilai RM5,000 disorok di dalam bateri komputer riba.

Katanya berdasarkan maklumat orang awam, pihak polis melakukan serbuan di rumah berkenaan pada 21 April lepas dan berjaya menahan seorang lelaki berumur 26 tahun.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah itu, disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali.- BERNAMA