KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disarankan mengambil langkah yang lebih berkesan dan proaktif supaya persediaan negara menghadapi sebarang pencemaran.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Tuan Che Alias Hamid berkata, ia sama ada kimia, biologi dan radiologi agar lebih mantap dan tersusun.
“Saya menyarankan beberapa cadangan kepada Kerajaan untuk penambahbaikan dari segi pengurusan pencemaran sisa kimia yang melanda negara kita baru-baru ini.
“Antaranya, prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan bencana sama ada kimia, biologi atau radiologi perlu dinilai dan diperkasakan semula.
“Penyelarasan, kerjasama dan tanggungjawab agensi-agensi sama ada peringkat Persekutuan mahupun Negeri yang terlibat iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia Malaysia dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Agensi Pengurusan Bencara Negara (NADMA) dan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu dimantapkan lagi supaya kenyataan dan arahan yang diberikan tidak bercanggah,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan Kemaman berkata demikian dalam kenyataan medianya pada Rabu, 27 Mac.
Menurutnya, peranan Agensi Pengurusan Bencara Negara (NADMA) mestilah diperkasakan dengan menggubal SOP yang lengkap dan menyediakan pelan tindakan pengurusan bencana yang sistematik.
Tambah beliau, NADMA harus mewujudkan majlis penasihat bagi menasihati kerajaan dalam berhadapan pengurusan impak kimia, biologi atau radiologi.
“Laporan analisis makmal gas beracun atau bahan berbahaya daripada Jabatan Kimia Malaysia perlu diumumkan kepada rakyat agar kredibilitinya dipercayai.
“JAS sama ada di peringkat Pusat atau negeri perlu melakukan pemantauan yang kerap dan bertindak pantas setiap laporan mahupun aduan pencemaran yang diterima.
“Mengeluarkan arahan perpindahan ke pusat penempatan sementara (PPS) bagi lingkungan kawasan yang terdedah pencemaran kimia, biologi dan radiologi,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap Kerajaan hari ini menyemak balik laporan dalam pengurusan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim sebelum ini dan komprehensif serta komitmen dalam penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam pengurusan bencana kimia.
“Walaupun tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan baik dalam menyelesaikan pencemaran sisa kimia tetapi pelbagai sudut yang dilihat perlu dicakna dan diperkemaskan.
“agar negara kita lebih teratur dalam pengurusan bencana lebih-lebih lagi yang melibatkan bahan-bahan kimia berbahaya,” tmbahnya.




























