Pesanan Kor Medik Amal Menjelang 1 Syawal

1631

Kor Medik Amal mengucapkan Selamat menyambut Aidil Fitri kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Maaf Zahir dan Batin. Semoga ibadah puasa Ramadhan kita sebulan berlalu di terima oleh Nya serta mendapat kerahmatan dan keampunan.

Kepada para perantau yang memulai perjalanan balik kampung, ingat lah beberapa pesanan ini dari kami:

1) Rancang perjalanan tuan/puan terlebih dahulu. Pastikan kenderaan dalam keadaan yang sempurna. Periksa minyak hitam atau servis sebaiknya. Lampu kenderaan dalam keadaan baik dan pastikan juga brek ketiga kenderaan anda juga turut berfungsi.

2) Sebelum bertolak tinggalkan pesanan kepada jiran bahawa anda akan balik kampung. Atau isi borang keselamatan di jawatankuasa kejiranan setempat (jika ada). Mereka akan menguruskan hal keselamatan termasuk mendapatkan kerjasama dari pihak polis jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

3) Bagi mereka yang Islam seelok-eloknya berwuduk dan membaca doa naik kenderaan sebelum memulakan perjalanan serta bertawakkal kepada Allah sepanjang perjalanan dengan bacaan bismillah dan doa.

4) Jangan terburu-buru di jalanraya kerana yang penting anda sekeluarga tiba ke destinasi dengan selamat dan dapat bersama dengan keluarga tersayang.

5) Jika anda letih, mengantuk, atau tidak fokus, berhentilah di R&R atau stesen minyak untuk melepaskan keletihan buat seketika. Pengiring disebelah tuan/puan perlulah mainkan peranan supaya perjalanan penuh dengan keceriaan dan tidak membosankan.

6) Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.

7) Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.

8) Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.

9) Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.

10) Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadap tetapi membahayakan semua pengguna. Jangan memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan ingatlah orang yang tersayang.

11) Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.

12) Jika berlaku kecemasan, dapatkan bantuan segera dari pihak yang berwibawa seperti polis atau peronda lebuhraya.

13) Simpan nombor-nombor penting untuk anda hubungi jika kecemasan.

Kami mendoakan perjalanan anda akan selamat sampai ke destinasi seterusnya dapat berkumpul sanak-saudara di hari yang mulia ini.

Maaf Zahir Batin

Ikhlas dari

DR SUHAZELI ABDULLAH
KETUA
KOR MEDIK AMAL & PENYELAMAT
Jabatan Amal Malaysia
fb.com/KorMedikPenyelamatJAM

29 Ramadhan 1437