Terengganu, Malaysia
Pendapat

Persoalannya: Adakah PAS Nekad Sebagai Blok Ketiga?

Gagasan Malaysia sejahtera

oleh : Salam Muhammad @ BayangDiAir

Dogma yang perlu difikirkan kembali secara sedar ialah benarkah pakatan pembangkang hari ini lebih berwibawa daripada BN untuk memerintah negara? Penulis lontarkan pertanyaan ini agar kalian mula menilai satu persatu parti-parti yang bercita-cita besar untuk menguasai Putrajaya. Sedarkah kalian bahawa ada perbezaan jelas antara tingkah pembangkang sebelum dan selepas PRU13.

Pada pandangan penulis, PAS jangan terlalu memberi prioriti terhadap strategi satu lawan satu; sedangkan dengan kewujudan PPBM pertandingan 3 penjuru pada banyak tempat mungkin lebih menguntungkan PAS. Namun fokus perbincangan ini ialah dengan siapa harus kita berkawan dan bekerjasama. Bukan kerana kita tidak mahu berkerjasama dan mengurangkan musuh. Cuma penulis berharap PAS tegas dengan Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga.

Isu yang sepatutnya dilihat ialah sejauh mana PAS mampu menjayakan cita-cita perjuangan dan merealisasikan citra politiknya yang berpaksikan Islam. Mari kita lihat satu persatu parti-parti yang menagih kehadiran kita kerana mereka baru sedar bahawa PAS adalah parti Islam/Melayu teras.

Pertama, PKR. Parti ini semacam terbahagi kepada dua pendekatan. Satu ingin bersama dengan PAS dan sebahagian lagi geli melihat janggut kita. Sepihak bersikap terbuka dengan dasar-dasar kita manakala sepihak lagi sinis dan kontradik dengan apa yang kita perjuangkan. Bolehkah kita percaya dengan parti yang bermain kayu tiga? Aku hanya memperingatkan.

Apakah PKR boleh menjadi gandingan kerajaan pusat yang baik? Kita harus menilai sikap mereka sejak peristiwa penyingkiran Tan Sri Khalid Ibrahim dari kerusi MB Selangor dan PKR. Pemimpin yang telus dan berwibawa begitu boleh mereka comotkan dengan dokumen fitnah 90 mukasurat. Bagaimana pula dakwaan rasuah seks yang memalit lumpur di badan kerajaan PKR Selangor? Mampukah nanti pemimpin-pemimpin PKR menjadi role model apabila menguasai Putrajaya?

Kedua, PPBM. Usah dinafikan bahawa mereka masih membawa cara hidup, fahaman dan pendekatan UMNO. Malah mereka masih sayangkan UMNO sebenarnya. Tengoklah kalau Najib berundur. Jangan pula kita lupa pada sikap Mahathir terhadap syariah dan hudud. Bukankah amat menggerunkan kita? Bukan Mahathir berseorangan dalam hal ini. Perhatilah penjilat sekeliling mereka. Semua ahli PAS boleh kenal perangai dan sikap mereka.

Andai jadi rakan sekutu di Putrajaya, adakah mereka akan berlaga angin dengan dasar PAS? Perangai mereka adalah perangai UMNO. Tak kan begitu mudah lenyap segala kebobrokan mereka semasa bersama UMNO semalam? Aku sama sekali tidak percaya kepada parti yang tertubuh atas dasar benci kepada individu bernama Najib.

Ketiga, DAP. Senak kepalalah kalau hendak meletakkan harapan kepada kereta kebal pemusnah ini. Mereka boleh u-turn 360 darjah untuk membedil rakan sendiri. Kata Malek Redzuan dalam lagu hitnya, “cukup sampai di sini, sayang”.

Bukan sekadar itu, apa berlaku kepada CAT sekarang? Apa sebenarnya lolongan kerajaan yang pernah menempelkan kemuliaan Khalifah Umar Abdul Aziz ini? Isu rasuah Lim Guan Eng, isu duit kopi perumahan rakyat, isu tambak laut, isu perobohan premis penjaja kecil dan banyak lagi? Inikah model kerajaan yang mendakwa dapat mengakhiri derita rakyat apabila menawan Putrajaya?

Keempat, PAN. Tak masuk buku langsung untuk dibahaskan. Ahli PAS tak payah lagi diperkenalkan satu persatu pemimpin PAN yang baru sahaja membuka kamus ‘dosa’ ini.

Justeru, perlukah PAS meletakkan harapan untuk mempersadakan tuntutan syariah dan kerajaan yang bersih bersama parti-parti dalam blok pembangkang tersebut? Fikirlah masak-masak secara tuntas dan holistik. Jangan terkesima akan jalan untuk dapat kerusi sahaja.

Adakah semua parti itu akan mengizinkan PAS melaksanakan syariah, membanteras maksiat dan rumah persundalan, penjualan arak secara bebas, menghalang LGBT dan liberaslime agama dan sebagainya apabila masing-masing berkongsi kuasa nanti? Andai mereka mendapat jumlah kerusi yang dominan, tidak mustahil mereka menendang PAS ketika itu. Semua itu akan berlaku jika PAS silap membaca seni politik dan gagal membuat percaturan yang tepat.

Penulis melihat PAS masih ragu-ragu dengan laungan ‘Istiqamah Hingga Kemenangan’. PRU14 dijangkakan semakin hampir; kurang dari setahun. PAS masih berkira-kira sama ada hendak bertanding sendirian atau bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain. Benar, situasi kini amat sukar bagi pemimpin untuk membuat keputusan. Motif tulisan aku adalah untuk berkongsi pandangan. Apakah aku yang naïf?

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan