Semalam 6 Oktober 2015, mesyuarat pertama Jabatan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia atau Malaysian Emergency and Disaster Management (MEDM) Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Yahaya Ali, Pengerusi MEDM PAS Terengganu merangkap Timbalan Pesuruhjaya 2 Badan Perhubungan PAS Terengganu.
Fokus utama menjelang setiap hujung tahun ialah persiapan menghadapi banjir. Walaupun belum ada tanda-tanda musim tengkujuh bakal melanda dalam waktu terdekat, tetapi Jentera Operasi Banjir perlu dipersiapkan dari awal dalam rangka untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tak dijangka.


Untuk tujuan tersebut, Bilik Gerakan Operasi Banjir Negeri akan dipersiapkan untuk dibuka bertempat di Pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu yang akan diaktifkan sebaik sahaja diperlukan. Operasi kita secara umum dibahagikan kepada 3 fasa iaitu fasa sebelum banjir, fasa semasa banjir dan fasa selepas banjir.
Setiap PAS Kawasan juga telah diarahkan untuk membentuk Jawatankuasa Operasi Banjir masing-masing selaras dengan apa yang telah disusun di peringkat negeri.
Melihat kepada kejayaan operasi pada tahun lepas, untuk operasi kali ini kita mengekalkan gerak kerja dengan sistem pengarahan berpusat (single command system) menggabungkan semua unit operasi yang terdiri dari Jabatan Amal, Terengganu Adventure Team (TAG), Kelab Radio Amatur, Ameerah, Briged Muslimat, Khairunnisa, Unit Perubatan dan Darus Syifa, Yayasan Amal, Unit Keselamatan, Rakan Khidmat serta Unit Media untuk saling berganding bahu menyumbang bakti kepada masyarakat.


Seiring dengan kemajuan teknologi, Operasi Banjir MEDM Terengganu akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi komunikasi radio amatur yang menjadi antara kunci keberkesanan operasi sebelum ini. Bilik Gerakan Banjir Negeri akan dipasang antena yang mampu menghubungkannya ke seluruh lokasi banjir di negeri Terengganu bagi memudahkan penerimaan maklumat, penyelarasan dan pengarahan.
Dr Azman Ibrahim
Pengarah Operasi MEDM Terengganu
7 Oktober 2015.


























