Perlombongan Pasir Silika Bukit Senyamok Terbiar?

6223

DUNGUN – PAS Terengganu mempersoalkan status projek Perlombongan Pasir Silika di Bukit Senyamok, Rantau Abang, yang nampak seolah-olah terhenti operasinya.

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sepatutnya projek tersebut dapat memberi manfaat yang besar kepada negeri dan rakyat, tapi nampaknya seperti tergendala.

“Projek tersebut berkeluasan 68.03 hektar itu dimulakan pada 10 Mac 2016 dan dijangka siap pada 9 Mac 2021 diuruskan oleh satu Kontraktor Permint Granite Sdn Bhd,

“Yang menjadi persoalannya kenapa kerajaan tidak membina kilang bagi memproses silika disini kerana sepatutnya silika ini diproses disini ataupun di negeri Terengganu supaya kilang itu memberi peluang akhirnya, kepada rakyat Terengganu untuk bekerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika meninjau sendiri projek tersebut pada Rabu, 6 September.

Katanya, pasir Silika yang bermutu tinggi itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan negeri ini.

“Pasir-pasir Silika ini merupakan hasil mahsul negeri Terengganu yang sepatutnya ia dapat memberikan manfaat yang besar buat penduduk negeri ‘penyu’ ini tapi nampaknya ia telah terhenti tanpa diketahui sebabnya,” kata beliau.

Justeru beliau menggesa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) agar bertanggungjawab dengan menjelaskan kedudukan sebenar projek perlombongan silika itu.