Perjuangan Rakyar Palestin Berasaskan Hak Dan Kehormatan Bukan Dendam Dan Kebencian

157

PAS berasa kurang selesa dengan tindakan 12 wakil rakyat PKR menggunakan terma-terma seperti dendam, kebencian dan keganasan
sebagai asas kebimbangan dan bantahan mereka terhadap program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pengajian awam anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penggunaan terma-terma sedemikian walaupun secara negatif, bukan sahaja terdedah kepada salah anggap, malah kelihatan seperti mahu melanjutkan lagi naratif dakyah dan prasangka yang dijuarai oleh media Barat serta pihak￾pihak yang menyokong rejim apartheid Israel apabila merujuk kepada
perjuangan rakyat Palestin.

PAS bersetuju bahawa elemen-elemen sedemikian tidak harus dibawa masuk atau disuburkan dalam kalangan, bukan sahaja pelajar, malah masyarakat kita
juga.

Namun demikian, penggunaannya dalam konteks perjuangan dan penentangan sah rakyat Palestin terhadap pencerobohan dan penaklukan oleh sebuah rejim yang terbentuk secara unilateral berdasarkan percaturan kepentingan tidak sah kuasa-kuasa kolonial selepas tamatnya Perang Dunia ke-2 itu adalah sama buruknya dengan pencerobohan dan penaklukan yang dilakukan.Undang-undang dan nilai-nilai sejagat jelas menyokong dan menerima perjuangan kemerdekaan dan pembebasan daripada penjajahan dan pencerobohan sebagai hak asasi semua manusia. Sokongan dan penerimaan

Ini bukan sahaja melibatkan usaha yang dilakukan secara aman dan diplomatik, tetapi juga meliputi perjuangan bersenjata oleh pihak yang terkesan olehnya.

PAS percaya kumpulan wakil rakyat PKR terbabit perlu lebih berhati-hati dalam isu ini dan tidak dilihat cuba memberi gambaran salah tentang perjuangan rakyat Palestin atau dilihat secara halus menggunakan gambaran itu untuk mensabotaj usaha baik KPM mendedahkan para pelajar kita kepada konflik yang berlaku di rantau terbabit dan juga kepada dasar dan pendirian Malaysia mengenainya.

Dalam keterpaksaan perlu jua disebut,hakikat bahawa kesemua wakil rakyat terbabit bukan beragama Islam dan berasal daripada kumpulan kaum yang sama semakin mendedahkan bantahan mereka kepada salah tafsiran dan tanggapan tidak sihat mahu pun produktif yang mesti dielakkan.

PAS bersetuju bahawa pengisian program yang agak berlebih-lebihan di beberapa buah sekolah seperti dilaporkan sebelum ini harus dihindari, namun ia bukanlah isu pokok atau terlalu penting untuk dijadikan hujah bagi membatalkan atau menimbangkannya semula.Dalam hal ini, KPM perlu mengambil langkah ke depan dengan menyediakan garis panduan lebih terperinci sebagai pedoman kepada sekolah dan institusi pendidikan kita berhubung pengisian program tersebut.

Keberhasilan sebuah sekolah di Pulau Pinang, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Chong Kuang, Nibong Tebal, menganjurkan program Solidariti Palestin secara harmoni Jumaat lepas boleh dijadikan contoh oleh sekolah-sekolah lain.

Menurut laporan media, program di sekolah berkenaan melibatkan pelajar dan gurunya yang berbilang kaum dan agama dan diisi dengan majlis penerangan dan tayangan video, pelancaran tabung solidariti, sesi bergambar dengan bendera Palestin dan juga solat hajat untuk guru serta pelajar yang beragama Islam.

PAS menyokong penuh semua usaha baik yang dilakukan bagi membela semua pihak dan kumpulan yang dianiayai dan dinafikan hak sah mereka, sama ada di Palestin, Myanmar atau di mana-mana negara sekali pun atas kepercayaan bahawa kemerdekaan, kebebasan dan kehidupan bermaruah adalah hak mutlak yang dianugerahi Tuhan kepada semua makhlukNya tanpa mengira warna kulit, kepercayaan agama, lokaliti mahu pun status ekonomi dan sosial

Sebagai sebuah parti Islam, PAS akan terus meneladani perjuangan Rasulullah SAW dan dasar teras pemimpin serta kerajaan Islam di sepanjang sejarah dalam isu-isu keadilan, keamanan, hak dan kehormatan semua, tanpa kecuali.

Terima kasih.

“ADIL PRIHATIN BERKEBAJIKAN”

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 29 Oktober