Perjanjian Antara Hamba Dengan Allah

1104

Oleh : Wan Sukairi Wan Abdullah

Kelmarin, saya dan rakan-rakan menziarahi beberapa buah rumah penduduk kampung di Kuala Terengganu. Dalam ziarah tersebut ramai di antara penghuni rumah yang kami santuni itu mengidap pelbagai penyakit, ada yang ringan dan ramai juga yang berat.

Terdapat juga yang kena ‘stroke’ dan penyakit saraf yang menyukarkan pergerakan malah ada yang terlantar di katil, kencing berak semua diuruskan oleh keluarga.

Menjadi kebiasaan saya, sebelum beransur dari rumah, saya akan bertanyakan keluarga pesakit berkenaan dengan pengurusan solat pesakit, adakah pesakit menunaikan solat atau tidak?

Sungguh malang, pengalaman saya menziarahi pesakit yang terlantar di katil ini (rumah itu), hanya dua dari 10 orang pesakit sahaja yang menunaikan solat samaada mereka menunaikannya dengan sendiri atau dengan bantuan ahli keluarga.

Lapan orang yang lain tidak menunaikan solat dengan alasan tidak mampu bergerak, sukar untuk mengambil wudhu, najis sentiasa ada di badan, tiada bantuan dari keluarga, tidak tahu bagaimana melakukan solat dalam keadaan sakit bahkan ada yang menyangka jika sakit tak perlu solat.

Keadaan yang sama juga sebenarnya banyak berlaku di wad wad hospital. Pengalaman saya berada di wad HSNZ KT lebih dari sebulan membuktikan perkara itu. Ramai pesakit terutama yang sudah tua apabila saya bertanya “pakcik dok solat ke? ”

Mereka dengan selamba menjawab “nok solat lagu mana awang weehh…….nok gi bilik air ambil wudhu dok boleh”.
Saya berpesan kepada keluarga pesakit di rumah yang kami ziarahi agar membantu pesakit untuk menunaikan solat. Ia wajib tunaikan walau apa keadaan kita sekalipun.

Hanya orang mati sahaja yang tidak wajib solat, tegas saya pada keluarga pesakit. Tolong dan bantulah pesakit yang kadang kadang suami kita, isteri kita, ibu bapa kita, anak kita dan keluarga kita untuk menunaikan solat.
Islam mempermudahkan kepada orang yang berkeuzuran untuk menunaikan solat dengan cara yang termampu oleh mereka.

Jangan menambah duka mereka yang sedia sakit itu dengan kesalahan meninggalkan solat pula. Tolonglah wahai kaum keluarga terdekat pesakit ! Kalau betul kita sayangkan mereka, bantu mereka untuk menunaikan solat!

Saya berpesan pada seorang makcik yang suaminya terlantar sakit kelmarin “yakinlah, solat itu boleh menyembuhkan dan meringankan lebih dari separuh penyakit suami makcik!

“dia terpaku dengan riak muka yang sedih.
Solat itu adalah perjanjian antara kita dengan Allah!