Dewan Pemuda PAS Malaysia mewakilkan Ahmad Fadhli Shaari sebagai pembahas ucapan dasar Presiden di bawah tajuk kewajipan dan tanggungjawab ahli dan pendokong PAS, dimana ahli dan pendokong hendaklah sentiasa yakin bahawa aqidah akan menyelamatkan manusia.
Apabila bergerak atas dasar syahadah, prinsip yang diperjuangkan ialah untuk membuka “pintu” Putrajaya sekaligus dengan membuka pintu syurga dan tiadalah kegusaran di hati para pejuang Islam kerana sentiasa membawa Islam.
Pesan rasulullah agar menjaga agama Allah maka Allah akan menjaga kita, dan jika ada sekumpulan manusia mahu memberikan mudharat kepada kita, dan Allah tidak mengizinkan, maka tiada apa yang boleh memudharatkan kita.
Ramai yang lari daripada perjuangan PAS adalah kerana mereka tidak menyedari akan benarnya jalur garis perjuangan ini, maka sepatutnya mereka disedarkan dan PAS sentiasa menerima akan kehadiran mereka.
DPPM turut mendesak bagi mengkaji semula hubungan dengan PKR kerana sikap tidak jelas PKR dalam menjalinkan hubungan dengan semua pihak termasuk dengan parti yang memusuhi PAS, dimana DPPM mahukan kata putus PKR.
Mengakhiri perbahasan ucapan terima kasih ucapan dasar Presiden PAS ialah Ustaz Mohd Asri Daud yang mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat menyatakan PAS secara berkesannya telah memberikan penerangan kepada DHPP sehinggakan DHPP mampu memahami Islam.
Identiti PAS ini, mesti dikekalkan iaitu dengan niat berpolitik untuk membawa manusia kepada kebaikan bagi menyelamatkan manusia secara keseluruhannya dan bukannya membawa budaya politik dendam.
Bagi mengukuhkan kehendak kepada matlamat politik matang dan sejahtera, maka DUPP menyarankan agar dihidupkan kembali tarbiyyah melalui buku-buku panduan yang dahulu digunakan sebagai teras perjuangan PAS.
DUPP juga berpesan bahawa perjalanan dalam memperjuangkan Islam ini adalah panjang dan berliku. Maka semua pihak mesti bersabar atas segala ujian susah ataupun senang untuk kita sama-sama mencapai kejayaan samada di dunia atau akhirat.





























