Perangkap ‘Air Menari’ Di Pulau Poh

3866

Menteri Besar (MB) kerajaan Umno Terengganu dilaporkan telah pun tertawan dan bersetuju menerima mainan baharu ‘air pancut menari’ di Pulau Poh, Tasik Kenyir.

Walaupun bulan lalu, Datuk Seri Ahmad Razif merasmikan pembukaan jualan zon bebas cukai di Pengkalan Gawi, beliau datang lagi bulan ini, untuk melihat projek-projek ‘membazir’ di Tasik itu.

Dalam jadual lawatannya dinyatakan, beliau melawat Taman Botani, Taman Rambutan, Heleconia, Tropika dan Durian yang entah di mana letaknya?

Tetapi, tidak ada pula mana-mana media yang menyiarkan gambar dan berita Razif sedang menikmati buah-buahan hasil keluaran taman-taman di Tasik Kenyir itu.

Projek yang dimulakan pada tahun 2011 itu sepatutnya sudah mengeluarkan hasil dan rakyat Terengganu boleh tumpang sama merasa nikmatnya.

Namun media perdana hanya memperbesarkan dua berita propaganda; cerita tentang pembinaan hotel di Pulau Poh dan dakwaan kononnya Tasik Kenyir adalah titik pelancongan berlandaskan Syariah.

Itu yang tersurat, tetapi yang tersirat dari lawatan daripada lawatan MB pada 3hb dan 4hb September itu ialah ‘air pancut’ yang memancar mengikut irama lagu.

Menurut sumber, ia adalah produk dari negara China (lagi-lagi China) yang melibatkan kos RM200,000.

Namun, kos sebenarnya adalah lebih besar dan tersembunyi!

Pemasangan ‘air pancut menari’ asal China di sebelah tiga bangunan tiga kubah asal dari Belanda itu adalah cuma suatu promosi, sebab itu harganya lebih murah.

Hasrat pemaju untuk mengaut untung lebih besar akan berhasil sekiranya Razif suka dan berminat untuk menjadikan mainan baharu itu, sebagai tarikan rakyat menjelang pilihan raya umum.

Tentu menjadi pujian kerana ia adalah antara yang pertama di Malaysia!

Sekiranya benar sebagaimana dikhabarkan, ‘air pancut menari’ itu akan dipasang di Bandar Baharu Kuala Nerus, dan di situlah keuntungan sebenar pemaju.

Apabila ia dilaksanakan nanti, akan menambah satu lagi kejutan selepas ‘pokok buncit’ berharga RM150,000 yang dilaporkan disumbangkan oleh pemaju.

Namun harga air pancut itu bukan ratusan ribu, tetapi akan menelan kos sebanyak RM1.5 juta!

Kedua-dua projek, memajukan Pulau Poh dan Membangunkan Bandar Baharu Kuala Nerus (BBKN) diberi kerajaan negeri kepada Casa Hartamas Sdn Bhd.

Sekiranya ia berlaku, pasti ada ‘Variation Order’, tambahan pembinaan yang akan meningkat harga pembinaan BBKN yang sebelum ini disebaut sebagai RM600 juta dan dibayar secara beransur-ansur menjadi RM700 juta!