Penyatuan Saf Anak Muda Di Ijtimak Kepimpinan Negeri

457

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Negeri Terengganu bertekad memperkukuh gerak kerja dan menjadikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri kali ini sebagai medan penyatuan seluruh saf anak muda dalam memperteguh perjuangan Islam di negeri ini.

Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Hamdi Harun, berkata pihaknya diamanahkan untuk menguruskan pelbagai aspek persiapan termasuk lokasi program, logistik, susun atur acara dan mobilisasi jentera pemuda dari seluruh kawasan di negeri ini.

“Setiap kawasan dijangka membawa lebih 1,000 peserta, dan secara keseluruhan kita menjangkakan ribuan anak muda PAS akan berhimpun di Ijtimak kali ini.

“Kehadiran ini membuktikan semangat juang pemuda yang tidak pernah luntur untuk terus bersama perjuangan Islam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tema “Teguh Memimpin Terengganu” menjadi peringatan bahawa pemuda bukan sekadar pendokong, sebaliknya pemimpin masa depan negeri yang bakal meneruskan agenda Islam secara berstrategi dan berkesan.

Bercakap mengenai pendekatan mendekati generasi muda khususnya Gen Z, beliau menegaskan usaha dakwah perlu lebih kreatif dan dekat dengan jiwa anak muda melalui penggunaan media sosial, aktiviti kebajikan serta teladan peribadi yang baik.

“Dakwah bukan hanya di atas pentas ceramah. Ia perlu melalui akhlak, kerja kebajikan dan ‘engagement’ yang mesra.

“Tarbiah juga kita tekankan kepada kefahaman dan penghayatan, bukan sekadar hadir program tanpa roh perjuangan,” jelasnya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera pemuda memanfaatkan Ijtimak ini sebagai platform menyatukan fikrah, mengetepikan perbezaan kecil dan memberi tumpuan kepada matlamat besar perjuangan Islam.

“Kita datang bukan hanya untuk meramaikan majlis, tetapi untuk memperbaharui semangat, merapatkan saf dan memperkukuh strategi.

“Selepas Ijtimak, pelan tindakan akan disalurkan ke semua kawasan dan cawangan, dengan pemantauan berterusan bagi memastikan amanat pimpinan dilaksanakan secara tuntas,” tegasnya.

Ustaz Hamdi menambah, fokus utama selepas Ijtimak adalah menyusun semula gerak kerja pemuda agar lebih aktif dalam dakwah, cakna isu pendidikan, berani menyuarakan pandangan politik semasa, selain menguasai teknologi dan kemahiran berdepan cabaran moden.

“Anak muda hari ini berdepan pengaruh luar yang mencabar akidah dan pemikiran mereka.

“Pemuda Islam perlu menjadi perisai, membawa suara Islam yang jelas, berhujah dengan ilmu dan menjadi contoh teladan agar generasi muda tidak hanyut.

“Ruang dakwah ini wajib kita rebut dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” ujarnya lagi.

Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu dijadual berlangsung pada 2 Ogos ini di Kota Putera Square, Kampung Raja, Besut, menghimpunkan kepimpinan dan anggota PAS seluruh negeri bagi memperkasa agenda Islam dalam pentadbiran negeri.