Penularan Covid-19; PH Digesa Jangan Ulangi Kesilapan

207

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PH digesa tidak mengulangi kesilapan lalu dengan membenarkan seluas-luasnya kemasukan pelancong daripada China yang mengakibatkan penularan Covid-19 pada tahun 2020.

Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, jangkaan kira-kira 300,000 pelancong daripada negara tersebut akan datang ke negara ini adalah amat membimbangkan.

“Kerajaan PH/BN perlu ambil tindakan tegas menyekat kemasukan mereka sehingga kes harian di negara itu reda,

“ambil iktibar kesilapan PH dua tahun lalu, jangan biarkan ‘pisang berbuah dua kali’,” tegas beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, kerajaan perlu waspada kerana statistik jangkitan di China melonjak kepada 62,724 orang, pada masa yang sama membenarkan rakyatnya mengembara.

“PAS mencadangkan agar ditangguhkan sementara kemasukan pelancong China dan memerhati secara dekat perkembangan negara itu,

“bagi pelancong negara itu yang telah masuk ke negara ini, perlu dikenalpasti dan diperiksa serta dibuat saringan status Covid-19 mereka,” tambah beliau.