Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kebanyakan yang ditahan menunggang motosikal dengan menunjukkan aksi yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan pengguna jalanraya yang lain.
“Malah, jenayah yang melibatkan belia dan remaja di negeri ini juga membimbangkan dan wajar ditangani bersama,” katanya kepada pemberita selepas kejohanan bola sepak tujuh sepasukan Piala Ketua Polis Terengganu, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas kadar jenayah yang melibatkan golongan remaja adalah sebanyak 365 kes atau 9.36 peratus yang meliputi kes seperti jenayah harta benda dan kekerasan, curi motosikal, samun, rogol, pelacuran, pergaduhan, peras ugut dan penipuan, selain penglibatan dalam jenayah serius seperti membunuh.
Mohd Shukri berkata dalam tempoh yang sama penglibatan golongan belia dan remaja dalam penyalahgunaan dadah juga semakin meningkat dengan 141 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan.
Katanya antara faktor semua masalah tersebut adalah persekitaran dan pengaruh kawan-kawan.
Sementara itu, katanya kejohanan bola sepak tujuh sepasukan Piala Ketua Polis Terengganu yang disertai 75 pasukan itu merupakan salah satu program pencegahan jenayah yang dilakukan oleh IPK Terengganu.- BERNAMA