Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) melahirkan rasa syukur atas pendekatan baharu Kerajaan Negeri Terengganu memperkenalkan pengasingan tempat duduk dalam pawagam bagi kumpulan penonton berkeluarga, penonton lelaki dan penonton perempuan.
Pengenalan tersebut adalah selari dengan Garis Panduan Hiburan Patuh Syariah yang telah menjadi antara agenda utama pentadbiran dibawah Kerajaan negeri Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.
Ucapan tahniah juga ditujukan kepada pengusaha pawagam dalam negeri Terengganu yang bersedia memberikan kerjasama dan sokongan terhadap dasar dan pendekatan kerajaan negeri.
DPPNT melihat pendekatan ini akan lebih menjadikan pawagam sebagai salah satu pusat aktiviti kekeluargaan dan lebih selesa dikunjungi oleh pelbagai latar belakang umur.
Walaupun terdapat suara kebimbangan dari pemimpin DAP, Nga Kor Ming dengan pendekatan tersebut, DPPNT percaya DAP tidak mendapat maklumat menyeluruh berkenaan pelaksanaan tersebut.
Namun begitu kenyataan pemimpin DAP tersebut jelas secara prejudis menyatakan keputusan yang diambil ini seperti melangkah kebelakang adalah tidak wajar sama sekali. Jesteru DPPNT menasihati para pimpinan seperti ini supaya mencuba dahulu saranan yang telah dibuat di Terengganu ini dan jangan terlalu awal mengeluarkan kesimpulan yang akhirnya menunjukkan ketidakmatangan kita dalam melihat sesuatu isu.
DPPNT percaya pelaksanaan pendekatan baharu tersebut adalah boleh diterima baik oleh masyarakat umum kerana ianya bertujuan memastikan penonton berasa selesa dan selamat di pusat tersebut.
Muhammad Zaidan bin Abdullah
SU DPPN Terengganu
6 Julai 2020