Penduduk Taman Murni Permai Bantah Pembinaan Balairaya Atas Padang Permainan Kanak-kanak

1774

http://buletinonline.net/images/stories/berita27/bantahantokjembal%20021.jpgSeberang Takir, KUALA NERUS – Rancangan kerajaan negeri Terengganu mahu membina bangunan di atas padang permainan kanak-kanak Taman Perumahan Murni Permai Tok Jembal dekat sini dibantah oleh penduduknya.
Kira-kira jam 6 petang Isnin, 21 Jun, lebih 50 penduduk telah keluar beramai-ramai dan berhimpun secara aman di padang berkenaan.

Jurucakap penduduk terbabit, Safian Chik, seorang penjawat awam berkata mereka tidak membantah pembangunan, tetapi menolak pembinaan sebarang bangunan diatas padang itu kerana kawasannya sudah sempit.

”Kami semua ni datang pada petang ini ialah untuk membantah pembinaan bangunan di kawasan taman permainan kanak-kanak ini kerana kawasan ini agak sempit,

”tapi ada pihak yang ingin membuat bangunan di kawasan ini jadi kita memandangkan keperluan anak-anak kita di kawasan taman ini untuk bermain pada waktu petang dan pagi menyebabkan kami membantah pembinaan bangunan,”katanya ketika ditemui pihak media.

Menurutnya, sekiranya pembinaan bangunan tersebut diteruskan, tidak ada lagi kawasan untuk anak-anak bermain di taman perumahan itu.

Katanya, ia akan menyebabkan kanak-kanak di taman itu terpaksa keluar dari kawasan Taman dan boleh menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingin berlaku.

Oleh itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Suaru Taman Perumahan tersebut berharap pihak yang berkenaan supaya membatalkan pembinaan bangunan tersebut.

”Saya berharap pembinaan bangunan itu dibatalkan, dan saya dapati di sebelah belakang sana (taman tersebut) masih ada lagi tanah-tanah kerajaan yang masih boleh di buat bangunan,”ujarnya.

Sekiranya ia diteruskan juga, beliau akan ‘berarak’ dan hantar memorandum kepada Pejabat Daerah ataupun kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Menurutnya, penduduk belum menghantar sebarang surat kerana baru mendapat maklumat tentang rancangan tersebut.

“Kita akan hantar (surat) kemudian, sebab hari ni maklumat ni pun baru kita dapat tau, kita buat keputusan untuk buat satu (himpunan) untuk menyuarakan bantahan kita, secara mengejut, ini yang dapat kita kumpul, sebenarnya ramai lagi yang tak balik daripada kerja,”jelasnya.

Katanya, penduduk tidak dimaklumkan tentang rancangan kerajaan mahu mendirikan bangunan tersebut kecuali mungkin diketahui oleh seorang dua yang ada kepentingan.

Menurutnya, penduduk hanya mendapat tahu tentang pembinaan yang akan dibuat melalui pihak yang datang untuk mengukur kawasan tersebut.

“Dia datang ukur hari tu, saya tengok. Saya tengok dia ukur. Tidak diberitau, tak mesyuarat dengan penduduk-penduduk di kawasan taman ini.

“Jadi pagi ni pun dia ada longgokan pasir ni untuk laluan, saya rasa untuk laluan lori dan sebagainya. Encik tengok sendiri kawasan taman ni. Encik tengok sendiri,”katanya sambil menunjukkan longgokan pasir berkenaan.

Seorang penduduk asal yang telah menetap selama 18 tahun di Taman Perumahan tersebut berkata, pembinaan bangunan Tadika sebelum ini juga mendapat bantahan.

Mohd Nor Awang Mat, seorang pekerja swasta berkata, beliau membantah kerana ruang sedikit yang masih ada di atas padang tersebut menjadi tempat untuk anak-anak bermain.

Katanya, sekiranya dibangunkan sebuah bangunan lagi, menjadi empat buah bangunan dan tidak ada lagi ruang kawasan permainan.

”Cuba kita tengok hari ni, dah ada 3 bangunan di atas padang ni. Sejak awal dulu pun kita ada menyuarakan bantahan, bangunan ni pun dah menyempitkan ruang untuk kanak-kanak kita ni.

”Jadi hari ni nak tambah satu lagi, memang rasa amat sangat tak wajar,”tegasnya.

Beliau yakin pihak yang berkenaan lebih arif di mana kawasan yang paling sesuai, untuk dibuat pembinaan.

Beliau turut mendesak supaya rancangan pembinaan bangunan tersebut dibatalkan.

”Jadi bukan kita kata tak setuju ada bangunan-bangunan di kawasan kita, kita perlu kepada tu, tapi tempat yang sesuai.

”Jadi tempat ni, tolong, pihak berkenaan kena pikir balik, kaji balik, pindah. Jangan buat kat kawasan ni,”saran Mohd Nor.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Tindakan DUN (Pas) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang memberitahu, bliau dimaklumkan sebuah balairaya akan didirikan di atas padang itu.

“Bila-bila ada ura-ura pihak kerajaan nak buat, nak bina bangunan, balairaya di tapak permainan ni, jadi kita tak setuju.

”Pihak penduduk kat sini buat aduan kepada saya, dirancang dengan cara yang tidak betul, penduduk di sini buat satu perhimpunan untuk tanda bantahan awal,”katanya mengulas tindakan pnduduk terbabit

Beliau berkata, sebuah Taman (perumahan) perlu ada sebuah tempat rekreasi. Jadi bila tempat ni dibina bangunan, tidak ada tempat lain untuk anak-anak bermain untuk aktiviti rekreasi.

Beliau yang turut hadir memberikan sokongan moral kepada penduduk berharap pihak yang berkenaan membatalkan hasrat untuk membina bangunan di situ.

Beliau turut menyarankan pihak kerajaan mencari tempat lain untuk membina balairaya dan atau sebarang bangunan lain.

http://www.youtube.com/watch?v=CBi0TUrQAXs