Pendekatan Seimbang, Tidak Ekstrem Terhadap Aktiviti Hiburan

68
Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu menegaskan komitmen untuk memperkukuh kawalan terhadap aktiviti hiburan di negeri ini, namun dengan pendekatan seimbang tanpa bersikap ekstrem atau menolak perkara yang menjadi fitrah dan minat masyarakat.

Timbalan Pesuruhjaya III Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata langkah itu dilaksanakan bersama portfolio Kerajaan Tempatan bagi memastikan setiap program dan aktiviti hiburan diurus selaras dengan prinsip syariah Islam.

Menurutnya, usaha tersebut bukan bertujuan menyekat hiburan sepenuhnya, sebaliknya memastikan ia dijalankan dengan adab dan nilai Islam, agar selari dengan budaya masyarakat Terengganu yang berpegang kepada ajaran agama.

“Kita tidak menolak hiburan kerana ia adalah fitrah manusia, tetapi hendaklah dikawal agar tidak melampaui batas.

“Langkah ini sejajar dengan tema ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ supaya rakyat hidup dalam suasana berkat, aman, dan sejahtera,” katanya.

Dr. Khalil berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti semula semua garis panduan dan kelulusan berkaitan penganjuran program hiburan bagi memastikan setiap acara mematuhi prinsip syariah serta tidak menjejaskan moral masyarakat, khususnya golongan muda.

Dr. Khalil turut menegaskan bahawa melalui penguatkuasaan bersepadu dan kempen kesedaran berterusan, masyarakat akan lebih memahami nilai syariah dan berdisiplin dalam menikmati hiburan yang sihat.

“Semua usaha ini dilaksanakan dengan penuh tekad bagi memastikan rakyat Terengganu hidup dalam keharmonian, selamat dan berdisiplin, berpaksikan prinsip Islam sebagai panduan pentadbiran negeri,” jelasnya.

Tambahnya lagi, penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Mufti Negeri Terengganu, Pihak Berkuasa Tempatan, serta agensi penguatkuasaan lain dan pengusaha hiburan.

“Dengan pendekatan tidak ekstrem dan kerjasama semua pihak, kita yakin aktiviti hiburan dapat menjadi wadah membina akhlak generasi muda, memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial rakyat Terengganu,” ujarnya