Pendedahan Audio; SPRM Hanya Mencari Publisiti

1031

Oleh :Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) mendedahkan siri rakaman audio melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib disifatkan sebagai bertujuan mencari publisiti.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa SPRM bukan badan untuk mendapatkan publisiti dengan mendedahkan maklumat kepada umum.

“Dia(SPRM) tidak boleh mendedahkan bukti kepada ‘public’ dan tidak boleh membuat keputusan persepsi seolah-olah orang itu bersalah, padahal itu bahan bukti,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian PASTI Aisyah, Jalan Intan di sini, pada 9 Ogos.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan demikian ketika diminta mengulas pendedahan terbaharu SPRM berhubung siri rakaman audio yang dipercayai konspirasi peringkat tertinggi berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya lihat kandungan perbualan tiada apa sangat, hanyalah perbualan suami isteri tetapi didedahkan waktu Pilihan Raya Kecil Kimanis.

“Dengan suasana negara begini, saya rasa tindakan dia(SPRM) ada kepentingan tertentu dan ini boleh menjatuhkan kredibiliti SPRM,” tambahnya.

Sepatutnya, kata Tuan Ibrahim, SPRM sebagai badan bertindak perlu menggunakan saluran yang ada dan bukannya mendedahkan maklumat bahan-bahan bukti.

“Sebab bahan-bahan bukti ini perlu disiasat dahulu sama ada betul atau tidak, walaupun betulpun, sejauh mana Ia boleh menjadi bahan bukti di peringkat mahkamah,” jelasnya.