Pemuda Sokong Penuh Belanjawan Terengganu 2026

71
Ustaz Muhamad Hamdi Dato’ Harun

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan Negeri Terengganu 2026 bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” yang mencerminkan kepimpinan berintegriti, berpandangan jauh serta berpihak kepada rakyat, khususnya generasi muda yang menjadi teras kemajuan negeri.

Ketua DPPNT, Ustaz Muhamad Hamdi Dato’ Harun berkata, pihaknya turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan kerajaan negeri dalam menjayakan dasar-dasar pembangunan yang terbukti berkesan.

“Peningkatan pelaburan sebanyak RM14.3 bilion, kadar pengangguran rendah (2.8%) serta peningkatan hasil negeri sebanyak 11.9% menggambarkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan ekonomi yang mampan,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan dengan peningkatan 12.7 peratus jumlah syarikat beroperasi turut membuka ruang luas kepada golongan belia untuk menceburi bidang teknologi, ekonomi digital dan inovasi.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi DPPNT untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing, kreatif dan mampu menjana peluang pekerjaan di negeri sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata lagi, DPPNT turut menyokong usaha kerajaan negeri memperkukuh pembangunan Islam melalui pembinaan dan penambahbaikan masjid, surau serta institusi pendidikan seperti Kolej Al-Quran Terengganu, Pusat Tafaqquh Fi Al-Din Tok Syeikh Duyong, Sekolah Menengah Imtiaz, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin dan SMIDI Ajil.

“Selain itu, langkah menambah bantuan kepada sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok melalui Skim Al-Ghazali serta pertimbangan subsidi bekalan air membuktikan komitmen kerajaan terhadap pendidikan Islam dan pembinaan generasi berakhlak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Pemuda PAS akan terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan belia, keusahawanan dan kesejahteraan rakyat.

“DPPNT yakin dasar berpaksikan Islam yang dilaksanakan akan terus memacu Terengganu sebagai negeri maju, berkat dan sejahtera,” katanya.