Pemuda Sambut Baik Pengumuman BERKAT 3.0

207

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyambut baik pengumuman pakej Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu(Berkat 3.0) oleh YAB Menteri Besar Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai usaha kerajaan dalam membantu rakyat.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nasir bin Abd Razak berkata, Apa yang menarik, saf kepimpinan kerajaan sekali lagi memilih untuk menyumbangkan gaji mereka kepada tabung Covid-19.

“saya mengambil maklum, ransangan yang bernilai RM 6,400,000 ini akan diagihkan secara berperingkat melalui dua fasa yang akan ditetapkan nanti.

“Satu usaha yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan yang memerintah sebelum ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Oleh itu, kata beliau, DPPNT mengucapkan syabas kepada semua penjawat awam pelbagai gred yang turut menyumbang.

“Ini sekaligus menjadi bukti kesediaan para penjawat awam untuk sama-sama dengan kerajaan bersatu hati membantu rakyat yang terkesan ketika ini.

“Selain itu, inisiatif moratorium pinjaman Yayasan Terengganu dan Penangguhan bayaran sewa premis PBT sudah pasti akan mengurangkan beban rakyat disaat yang sangat mencabar ini,” jelasnya.

Katanya, DPPNT berharap agar inisiatif Berkat 3.0 dan Permai yang diumumkan oleh kerajaan Terengganu dan Persekutuan, dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat yang terkesan.

” Inisiatif ini benar-benar menunjukkan keprihatinan kerajaan PAS kepada denyut nadi penduduk rakyat yang terjejas,” tambahnya.

Justeru itu katanya, DPPNT juga menyeru kepada semua pihak, bersatu bersama kerajaan dalam usaha untuk melawan wabak Covid-19 yang sedang mengganas ini.

” Semoga di hujung jalan berliku ini akan ditemui cahaya. Moga kita semua tabah dan bersabar atas setiap ujian yang melanda,” kata Nasir.