Pemuda PAS Terengganu Bantu Pelajar Terjejas di Indonesia

801

Oleh : Izzat Al-Qushairi

KUALA NERUS – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah menghulurkan sumbangan kepada seorang pelajar yang terkandas di Indonesia untuk pulang ke tanah air.

Sumbangan kewangan itu adalah untuk keperluan pelajar Pondok Pesantren Al-Munir Pangkat, Jawa Tengah, Muhammad Fahimi Mustafa, 28, untuk membeli tiket kapal terbang dan keperluan lain.

Pengerusi Lajnah Kebajikan, Kesihatan dan Pengguna DPPNT, Mohd Shafizi Ismail berkata, beliau telah menyerahkan sumbangan kepada ibu pelajar tersebut.

“Serahan sumbangan berbentuk wang ringgit ini bertujuan untuk meringankan sedikit beban tiket kapal terbang yang melambung tinggi disebabkan oleh wabak COVID-19,” katanya.

Beliau yang mewakili Ketua DPPNT, Ustaz Nasir Razak berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di sini, semalam 13 April.

Sementara itu, Fahimi yang dihubungi berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) di Indonesia tidak seketat sebagaimana di Malaysia.

“Kawasan yang ketat hanya dikenakan di kawasan merah.

“Walau bagaimanapun, segala aktiviti kemasyarakatan yang berskala besar tidak dibenarkan dan sekolah juga ditutup,” jelasnya.

Katanya lagi, keadaan di Jawa Tengah masih aman kerana kedai-kedai masih dibuka, solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu juga berjalan seperti biasa.

“Namun, bagi mereka yang mempunyai simptom covid-19 dinasihatkan untuk tidak hadir,” tambahnya.

Menurut Fahimi, hanya beliau berasal dari Terengganu yang masih terkandas disana.

“Adapun, masih terdapat tujuh orang pelajar Malaysia yang tidak dapat pulang atas faktor kewangan,” ujarnya.