Pemuda Pas sedia debat

675

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Terengganu bersedia menganjurkan program debat berhubung tragedi Bukit Kepong melibatkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah (gambar) berkata, pihaknya telah pun memutuskan perkara itu dalam mesyuarat yang berlangsung kelmarin dan dijangka menghantar surat kepada kedua-dua panel tersebut dalam masa terdekat.

“Kita juga akan mengadakan mesyuarat pada 10 September bagi membincangkan lokasi sesuai untuk perdebatan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, kerajaan Pas Kelantan mencadangkan Khairy berdebat dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan dipersetujui Khairy, sebaliknya tidak dipihak Mohamad.

Mohamad bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada Pemuda Pas Johor untuk berdebat dengan Khairy, bagaimanapun Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dalam portal pembangkang menyatakan persetujuan berdebat secara ilmiah berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Mohd Nor bersetuju dengan tindakan Mohamad untuk tidak berdebat dengan Khairy kerana statusnya sebagai pemimpin kedua tertinggi parti itu tidak setaraf dengan Ketua Pemuda UMNO itu.

“Kedudukan sebagai orang kedua tertinggi parti itu setaraf dengan Timbalan Presiden UMNO dan sepatutnya berdebat dengan mereka yang setaraf,” katanya.

Menurutnya, Khairy juga tidak layak berdebat dengan Mohamad kerana ketua pemuda parti kerajaan itu telah diketepikan parti sendiri dan tidak mempunyai sebarang kekuatan dalam parti serta tidak mendapat tempat dalam kerajaan.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesyorkan debat Pas-UMNO berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan isu siapa pejuang kemerdekaan negara bagi membolehkan rakyat sendiri membuat penilaian.