Pemuda PAS Perlu Kuasai Pelbagai Ilmu

805

Oleh : Izzat Al Qushairi/Hishamuddin

BESUT – Pemuda PAS diseru agar menguasai pelbagai disiplin ilmu bagi menggerak dan memimpin masyarakat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Ustaz Mohd Nasir Razak berkata, agenda tersebut mesti dijadikan program utama kerana masa depan negeri dan negara berada di tangan para pemuda.

“Perjuangan belum selesai, misi kita mesti diteruskan, mesti terus mengisi kemenangan ini dengan ilmu kepimpinan, pengurusan dan seni berpolitik.

“Ayuh, mari kita buktikan kekuatan pemuda, insya-Allah,” tegas beliau semasa berucap di Mesyuarat Agung Tahunan DPPNT Kali Ke-51 di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, Besut, Terengganu pada semalam.

Tambahnya, para pemuda mesti menjadi pakar dalam bidang dipelajari supaya setiap polisi dan dasar negara mampu dibina oleh individu yang mempunyai fikrah Islam.

“Saat negeri dan negara memerlukan tenaga pakar satu hari nanti, maka pemuda PAS yang mempunyai fikrah Islam inilah yang bakal memenuhi keanggotaan panel untuk mengubah polisi dan dasar negara.

“Seterusnya menjayakan agenda parti menguasai kerajaan melalui dominasi matlamat dan juga hala tuju perjuangan dan sistem dalam agensi kerajaan.

“Serta persiapan ketiga adalah ibadah yang berkualiti. Ibadah wajib perlu dipelihara, ibadah sunat mesti diperbanyakkan lagi dan yang paling utama dalam mempertingkatkan kualiti ibadah kita,” ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, persiapan keempat ialah taat dan wala’ kepada seluruh kepimpinan pemuda.

“Jika tiada taat dan wala’, pastinya usaha membuka Kota Konstantinopel tidak akan berhasil kerana jika mengikut logik akal tiada kapal yang berlayar di atas bukit,” katanya.

Nasir menambah, persediaan terakhir bagi para pemuda dalam perjuangan ini adalah persiapan jiwa.

“Parti sudah membuat keputusan untuk bersama dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Permuafakatan ummah ini merupakan satu nikmat besar yang Allah beri kepada kita, kepada semua warga pemuda Terengganu dan mesti kita tonjolkan kekuatan sebagai umat islam di hadapan musuh-musuh kita,” beliau membah lagi.