Oleh : Mohamad Aswadi Mohamad
MARANG – Pemuda PAS kawasan Marang menjadi pemangkin ‘Marang Maju’ dalam usaha menjadikan kawasan tersebut berkembang dan maju.
Ketua Pemudanya, Yusuf Abdul Hadi berkata, pemuda mengorak langkah dengan membuat kunjung hormat ke pejabat dan agensi kerajaan tempatan.
“Pertemuan ini diadakan bagi menjalinkan hubungan dan saling bertukar buah fikiran.
“Antara perkara difokuskan dalam pertemuan itu adalah berkaitan keperluan anak muda seperti peluang pekerjaan, kegiatan ekonomi dan isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh anak muda,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program kunjung hormat di sini, semalam.
Menurutnya, Majlis Daerah Marang merupakan agen penting untuk jalinkan hubungan bersama DPPKM kerana disini pusat utama pelbagai maklumat dan perkembangan daerah.
Oleh itu, beliau menambah, sebagai permulaan selepas peralihan kuasa kerajaan negeri, pemuda PAS membuat kunjungan tersebut untuk merialisasikan misi politik matang dan sejahtera di negeri Terengganu.
“Untuk itu, kita perlu mengeratkan hubungan dengan MDM.
“Apatah lagi kita baru setahun lebih memegang tampuk kerajaan pasti banyak perkara selepas ini yang akan berhubungkait bersama,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam berkata, beliau mengalu-alukan segala pandangan dan idea terutama anak muda untuk pembangunan di kawasan tersebut.