Pemuda PAS Alukan ‘Calon Import’ Bertanding di Marang

1081

MARANG – Pemuda PAS Marang mengalu-alukan kehadiran ‘calon import’ Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Abdul Shukur untuk bertanding di Marang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemudanya, Ustaz Yusuf Abdul Hadi berkata, pihaknya tidak gentar malah menyifatkan tindakan Amanah itu menambahkan lagi semangat jentera bagi mempertahankan kemenangan.

“Dalam dunia demokrasi ini PAS terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bertanding di Marang, tak kisah dia diimport dari mana sekali pun.

“Insya-Allah, kami bersedia walaupun pada asasnya kami tidak bersetuju pilihan raya diadakan dalam suasana tidak menentu dan demi menyelamatkan pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir dalam Himpunan Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) semalam.

Ketika ditanya adakah strategi Amanah mengetengahkan ‘calon import’ bakal menggugat PAS, Ustaz Yusuf sebaliknya berkata ia sebenarnya membuktikan parti ‘didikan DAP’ itu ketandusan calon.

“Mereka tiada tokoh, tiada calon, tidak lebih hanya mahu memecahkan undi orang melayu.

“Kita boleh lihat Amanah hanya muncul ketika musim pilihan raya, sebelum ini tiada kelibat mereka,” tegasnya.

Tambah beliau, mood rakyat di Terengganu terutamanya di Marang ketika ini berpihak kepada PAS.

“Dalam ziarah dan program yang kita adakan, majoriti rakyat mengatakan mereka terus setia bersama PAS dan mahu PAS menjadi kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Pakatan Harapan (PH) Terengganu mempertaruh Azhar daripada Amanah sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Marang pada PRU-15, 19 November ini.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, keputusan meletakkan calon dari luar kawasan bukan bermaksud ketandusan pemimpin berbakat anak tempatan, sebaliknya membuktikan parti itu berjiwa besar bagi menguji kemampuan di kubu kuat PAS di negeri ini.