KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan melaksanakan satu lagi manifesto yang ditawarkan PAS dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, iaitu Pemberian Lesen Motosikal Percuma RM300 untuk golongan belia di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dengan perlaksanaan tindakan itu kelak, akan menjadikan enam daripada 20 manifesto dilaksanakan kerajaan sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Terengganu .
Beliau berkata, pihaknya telah pun mengadakan mesyuarat bagi tujuan itu dengan pelbagai agensi yang terlibat untuk merealisasikan manifesto yang telah dijanjikan.
“Alhamdulilah dengan perbincangan semua agensi telah pun selesai dan perkara ini telah pun berada di peringkat akhir,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika ditemui pihak media di Wisma Darul Iman di sini semalam Ahad, 16 Ogos.
Katanya, beliau berusaha membuktikan kepada rakyat dengan melaksanakan manifesto tersebut yang dijangka, pada akhir tahun ini.
“Menteri Besar Terengganu akan mengumumkan pelaksanaan manifesto untuk lesen motosikal bagi belia dalam pembentangan Bajet 2019 pada November ini,” ujarnya.



























