KUALA TERENGGANU – Pembentangan bajet bukanlah ‘grandstanding’, bukan medan menunjuk-nunjuk, bercakap dengan cara yang bertujuan untuk menarik perhatian orang lain dan mendapat kelebihan, selalunya untuk promosi diri atau bermain bahasa yang tidak difahami rakyat.
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Darul Iman menempelak pihak yang tidak berkenaan, memberi komen negatif terhadap pembentangan bajet 2026 negeri Terengganu.
“Ada juga pihak di luar yang mempersoalkan pembentangan bajet (2026) tahun ini kononnya tidak menyebut angka atau bonus.
“Untuk makluman, inilah kali pertama daripada tujuh pembentangan bajet sejak 2018 yang saya tidak menyebut angka — termasuk bonus,” jelas beliau.
Katanya, ia disengajakan kerana mahu membudayakan bahawa Persidangan Dewan Undangan mahu berbicara secara jelas dan langsung kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini
“Sebab itulah saya tidak menyebut angka bonus dalam pembentangan, tetapi memilih untuk mengumumkannya dalam penggulungan hari ini.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri Terengganu.” tambah beliau.
Justeru, beliau merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan persidangan Dewan Undangan Negeri Kali ini.
“Sebelum mengakhiri ucapan, saya
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang bertungkus-lumus, Ahli-ahli Yang Berhormat,
“pegawai-pegawai, bentara, pasukan teknikal, penyedia makanan dan semua pihak terlibat. Semoga ia menjadi amal soleh di sisi Allah SWT.” ujarnya.





























