Pembahagian Kerusi PRU-15 Terengganu Belum Bincang

920

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri Terengganu, belum lagi bermesyuarat antara tiga parti itu PAS, Umno dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu, dimaklumkan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman, mengenai pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, di Terengganu akan datang.

Namun, katanya ketiga-tiga parti itu akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama dalam masa terdekat ini.

“Kita masih belum mengadakan mesyuarat Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional di peringkat negeri (Terengganu).

“Oleh kerana, PAS, Umno dan Bersatu sudah ada dalam Perikatan Nasional. Insya’Allah, kita akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat ini di peringkat negeri Terengganu.

“Jadi, belum sampai masanya kita bincang (tentang) pembahagian kerusi (PRU). Pada saya, tidak ada masalah dan apabila kita dapat duduk sekali, bincang, Insya’Allah tidak ada masalah,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Kampung Budaya Terengganu 2020 di Quinara Al-Safir Resort, Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini.

Ariffin menjelaskan isu pengagihan kerusi pilihan raya itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden tiga parti tersebut.

Menjawab persoalan tuntutan kerusi PRU15 dalam Muafakat Nasional, katanya sesiapa pun boleh menuntut tetapi terserah kepada pimpian di peringkat pusat.

“Sesiapa pun boleh bercakap, tetapi dalam isu pembahagian kerusi ini telah ada jawatankuasanya iaitu Majlis Presiden, yang akan memutuskan tentang pengagihan kerusi tersebut di seluruh negara.

“Kita (Terengganu) akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini, Insya’Allah. Kita telah ada pertemuan sebelum ini dengan Umno tetapi lebih kepada (program) kebajikan, Covid-19. Seingat saya sudah tiga kali kita bermesyuarat (dengan Umno),” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, pihak PAS diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak.

“Di Terengganu, bagi pihak PAS diketuai oleh Dr Alias Razak sebagai ketua, dan pihak Umno Terengganu, Dato’ Din Adam dan parti Bersatu, saya tidak pasti siapa yang mewakilinya. Seramai 11 orang setiap satu parti.

“Kita minta juga diadakan mesyuarat di peringkat Kawasan (Bahagian) atau Parlimen. Tapi, kali ini fokus kita lebih kepada politik.

“Kita juga mengarahkan di peringkat Kawasan atau Parlimen dapat menubuhkan jawatankuasa bersama PAS, Umno dan Bersatu,” tegasnya.

Parti Bersatu yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini telah secara rasminya menyertai Muafakat Nasional dengan PAS dan Umno.

Pada PRU14 lalu, PAS menguasai enam kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memerintah di negeri ini dan Umno-Barisan Nasional (BN) menguasai dua kerusi Parlimen sebelum berpecah kepada Bersatu serta 10 kerusi DUN Terengganu.