Peluang Kepada Melayu Islam

180

Dalam seminggu dua yang lalu, heboh berkenaan isu DBKL melalui Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa, memberi kebenaran kepada peniaga-peniaga kecil, menjalankan perniagaan mereka dengan kebebasan yang agak luas. Tentu sahaja peniaga-peniaga kecil ini adalah mereka yang terdiri dari kalangan Melayu Islam. Dan golongan ini jugalah yang ramai terjejas dengan Covid 19 sekarang.

TS Annuar juga telah memutuskan untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai runcit di bawah seliaan DBKL bermula Oktober 2021. Arrhh, Oktober. Oktober juga menyaksikan Pan menyokong Oktober Fest, yang menjadi paksinya DAP sebelum ini. Alhamdulillah syukur kerana kedua-dua isu ini akan memberikan kelebihan kepada Melayu Islam, dunia dan akhirat.

Lalu, kedengaranlah suara DAP yang membantah kedua-dua cadangan ini. Tuduh salah seorang pimpinan DAP, TS Annuar mahu menjadikan Kuala Lumpur seperti Ketereh, kawasan Parlimen Annuar dalam isu peniaga kecil. Dan kemudiannya, mereka juga memprotes sekatan penjualan arak itu kerana ia bertentangan dengan kehendak mereka, mungkin? Tetapi perlu diingat, ada perbezaan istilah antara ‘liqour’, minuman keras yang mahal dengan ‘soft drink’ dalam tin dan berharga murah itu.

Yang kedua, ia berkaitan dengan Kementerian Alam Sekitar. Ketika Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man diangkat menjadi Menteri, beliau diperlekehkan. Tetapi kementerian beliau adalah antara yang paling mendapat perhatian sekarang. Jika kita lihat isu yang sekian lama seperti masalah air di Kelantan, majoriti Melayu Islam, sekarang sudah dalam perjalanan penyelesaian. Ini kerana Menteri sendiri memainkan peranan membantu menyelesaikan masalah. InsyaAllah, segala yang terbaik akan berlaku.

Ketiga ialah berkenaan peluang menjana pendapat yang lebih baik dalam sektor perladangan. Maklumat yang saya terima ialah pekerja am ladang sawit misalnya, sekarang purata pendapatan mereka ialah sekitar RM1500 hingga RM2000 sebulan. Menurut pegawai atas di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), kerajaan sekarang bercadang untuk menyelaraskan pendapat pekerja dengan insentif yang lebih baik. Apalagi dimusim pandemik ini.

Dengan gaji pokok sebanyak RM1200, mereka akan menikmati komisyen antara RM2000 sehingga RM3000. Malah tempat tinggal, KWSP dan Socso turut disediakan. Tidak setakat itu, harga sawit juga semakin meningkat dengan usaha yang berterusan dari kementerian, kini menjadi RM3400 tertinggi semenjak lapan tahun lalu. Bukan sawit sahaja, getah juga terkena ‘getah’ kenaikan harga yang sebelum ini seperti melekat pada harga lantai di bawah RM2. Sekarang getah sekerap RM2.50 sekilo.

Sektor perkayuan juga dilihat akan membuka peluang yang lebih luas kepada Melayu Islam kerana sehingga kini, maklumat yang diberikan ialah kurang dari satu peratus, Melayu Islam terlibat dalam industri ini. Untuk rekod, bermula dari tahun 1978 sehingga Februari 2020, kesemua Menteri bagi MPIC ialah dari kalangan bukan Islam.

Saya tidak menulis dari sudut rasis. Yang cuba saya sampaikan ialah kalangan bangsa lain, jika mereka mendapat peluang melalui bangsa mereka juga, pastinya mereka tidak akan melepaskan peluang itu. Mereka menerima tempias itu kerana didedahkan oleh Kementerian segala selok beloknya. Setelah puluhan tahun mereka mengungguli industri-indsutri ini, maka inilah masanya pula kita memperbanyakkan peluang kita. Tidaklah bermaksud meminggirkan mereka yang sedia ada.

Cuba anda lihat, dan ianya sudah terbukti. Majoriti daripada pekerja ladang getah terdiri daripada India dan Melayu. Dahulu, mereka terpaksa bangun seawal jam tiga atau empat pagi untuk memulakan torehan. Dengan bertemankan lampu suluh, mereka juga menghadapi risiko dibaham harimau. Namun berapa orang penoreh yang menikmati hidup yang lebih sempurna?

Kita lihat pula ‘tauke-tauke’ getah. Merekalah antara golongan terbesar menikmati insentif-insentif yang disediakan kerajaan bagi industri getah, yang mana sepatutnya mengalir sehingga kepada penoreh. Tetapi disebabkan kekurangan maklumat, maka penoreh yang majoriti Melayu Islam itu tidak menikmati semua itu. Bukanlah mahu mengkayakan, tetapi mengurangkan beban mereka, paling kurang.

Ketika dikatakan permintaan terhadap getah turun, harga getah turun. Tetapi harga tayar, sarung tangan dan produk getah yang lain, tetap kekal harganya. Yang menerima kesan terbesar ialah penoreh-penoreh getah. Yang mendapat laba berlipat ganda, pemain-pemain tengah dan atas industri getah. Pokoknya ialah maklumat secara menyeluruh perlu diberitahu kepada semua lapisan yang terlibat. Tetapi ia tidak berlaku.

Sama juga dengan isu di ladang sawit. Kebanyakkan pekerja ialah pendatang samada dengan izin atau tanpa izin. Mereka tidak merungut kerana mereka tahu gaji mereka tidak banyak. Tetapi berlainan dengan kaum kita. Kita tahu hak kita dan sepatutnya kitalah yang menjuarai industri ini. Tetapi kaum kita pula digelar pemalas.

Jelas tuduhan itu dinafikan oleh orang kita kerana sudah terbukti kerja itu banyak tenaga diperlukan, tetapi ada pihak cuba memerah tenaga kaum kita dengan gaji yang sedikit, bagi mencari untung lebih. Yang membuka Felda-Felda di seluruh Malaysia ialah orang Melayu dengan segala kepayahan, sehingga sawit mendapat tempat di dunia. Mana ada kaum lain yang terlibat. Kalau bangsa kita dihina dengan gelaran malas, mereka layak digelar penipu.

Ketika Kementerian sibuk melakukan sesuatu yang bermanafaat kepada rakyat, terutamanya Melayu Islam, informasi ini kelihatannya tidak tersebar dengan sebaiknya. Saya mengambil tiga kementerian ini dahulu kerana pada pandangan saya, mereka agak kuat diserang. Menteri dari PAS diserang oleh PH. Dan kita tahu, hantta kentut PAS juga akan mereka buat isu besar.

Tetapi saya agak bimbang bilamana TS Annuar Musa diserang bukan sahaja oleh PH, tetapi juga dari dalam Umno sendiri. Adakah ini indikasi sesuatu yang kita tidak mahu berlaku dalam Umno, sedang berlaku? Saya takut pengaruh beberapa tokoh Umno amat kuat dan tokoh itu telah pula bersetuju dipujuk untuk berganding dengan pasangan lain. Dan lebih menakutkan dalam fikiran saya ialah, nanti akan ada tangan dari bangsa lain, kembali mencekik bangsa kita, menggunakan tokoh Umno ini.

Beliau diserang dengan isu arak dan penjaja oleh bukan Islam dan perihal bergabung dengan PAS dari dalam oleh sesetengah manusia. Mereka sepertinya tidak peduli dengan orang lain, walaupun sebangsa. Yang penting, mereka selamat, walau terpaksa mengorbankan kalangan mereka sendiri. Sedangkan atas kesatuan inilah kita melihat peluang Melayu Islam untuk berjaya. Sejarah sudah menulis, dan sejarah juga sedang menulis.

Mohd Nasir Abdullah
24 November 2020