Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menggambarkan pelantikan Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang baharu bagi Sesi 2019-2021 ini sebagai persediaan kepimpinan pelapisnya.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang berkata pelantikan itu sekurang-kurangnya mempunyai tiga eleman penting bagi PAS negeri ini.
“Pertama, kita hendak mewujudkan golongan pelapis kepimpinan ulamak. Kedua, hendak menyelaraskan antara pemegang dasar kerajaan negeri dengan pemegang dasar parti dan ketiga, hendak meremajakan kepimpinan PAS negeri Terengganu.
“Matlamatnya ialah untuk memperkasakan parti ke arah hendak mempertahankan kemenangan yang ada sekarang ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), batu Enam, Kuala Nerus, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, oleh kerajaan negeri mengikut tahap-tahapnya.
“Insya’Allah, team (pasukan) yang saya bentuk ini akan memberikan cadangan-cadangan yang komprehensif kepada saya, Insya’Allah,” tegasnya.
Menjawab persoalan hubungan kerjasama PAS-Umno di Terengganu, katanya PAS negeri akan bersama dengan keputusan Muktamar PAS Pusat tanpa prejudis.
“Keputusan telah dibuat oleh Muktamar (Tahunan PAS Kali ke-65) dan beberapa tatacara telah pun diambil langkah oleh PAS Pusat.
“Apa jua yang diputuskan oleh PAS Pusat, Terengganu akan bersama dengan PAS Pusat untuk melaksanakan semua dasar dan semua keputusan yang diambil.
“(PAS) Terengganu juga akan mengikut arus perkembangan politik yang ada sekarang ini, dengan mewujudkan rangkaian kerjasama dengan Umno di peringkat negeri, Insya’Allah,” jelasnya.
Namun, kata Dato’ Husain, buat masa ini belum ada sebarang perbincangan atau program bersama dengan Umno secara terbuka di negeri Terengganu.
TAMAT