Pelantikan Dr Sam Terajui PN Isu Penting Politik Semasa

114

KUALA TERENGGANU – Pelantikan Menteri Besar Terengganu, Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Pengerusi Baharu Perikatan Nasional disifatkan sebagai isu penting politik semasa yang berpotensi memberi kesan besar terhadap landskap politik negara.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan parti-parti komponen terhadap kemampuan Ahmad Samsuri dalam memimpin gabungan secara lebih tersusun dan berwibawa.

“Rekod kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu yang menekankan prinsip integriti, kestabilan dan tadbir urus yang baik diyakini mampu memperkukuhkan lagi peranan PN sebagai sebuah blok politik yang matang dan berwibawa,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Baharu Perikatan Nasional, yang diputuskan secara sebulat suara dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu melihat pelantikan ini sebagai satu kesinambungan kepimpinan yang akan memperkasakan agenda penyatuan ummah.

“Memperjuangkan kebajikan rakyat serta menawarkan kepimpinan alternatif yang berteraskan nilai Islam, keadilan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi PN, Muhyiddin Mohd Yassin, atas jasa dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui gabungan tersebut.

Tambahnya lagi, Pemuda PAS Terengganu komited untuk terus memperkukuhkan saf perjuangan serta mendukung kepimpinan baharu demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Insya-Allah, Pemuda PAS Terengganu akan terus memberikan komitmen penuh dalam memperkukuhkan saf perjuangan serta mendukung kepimpinan baharu demi masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera,” tambah beliau lagi.