Pelajar Pintar Aset Penting DUN Bukit Besi

88

DUNGUN – Pelajar pintar yang layak menyambung pengajian ke mana-mana universiti tempatan atau luar negara menjadi aset penting sebagai pelapis kepimpinan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, peluang yang hadir untuk menimba ilmu di menara gading perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar dapat berbakti kepada masyarakat dikemudian hari.

“Gunakan kesempatan yang ada untuk belajar bersungguh agar pergi dengan seribu harapan dan pulang membawa kejayaan, di samping itu juga jadikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai medan untuk melatih bakat kepimpinan dengan menyertai persatuan-persatuan pelajar.

“Terutama yang berorientasikan agama Islam, dimana pelajar boleh menyertai ‘usrah’, dorongan minat untuk menyertai persatuan sebegini akan hadir apabila melazimi diri dengan surau-surau dan masjid dengan mewajibkan diri solat secara berjemaah dan mengikuti kuliah-kuliah agama.”ujarnya.

Dengan itu, kata beliau, dapat membentuk keperibadian sebagai seorang pemimpian Islam yang bijak dengan kekuatan dari dalam diri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lambaian Menara Gading (LAMEGA), peringkat DUN Bukit Besi, semalam.

Justeru sebagai anak kampung tinggal di pedalaman, kata beliau, jangan merasa rendah diri dengan kekurangan yang ada.

“Perlu sentiasa bersemangat untuk menyaingi pelajar-pelajar lain, walau dari mana pun mereka, kena ingat kejayaan tidak mengenal dari mana pun asal kita, dengan menekuni pengajian pasti kejayaan itu akan datang.

“Juga suka untuk saya nasihatkan jangan ikut budaya atau contoh yang tidak baik jangan terikut dengan silang budaya, elakkan kejutan budaya.

“Sebaliknya perlu sentiasa cemerlang dan kekalkan prestasi dari mula belajar sehingga tamat semester,” tambahnya.