Pegawai Pakistan Mengakui Terlibat Penipuan Keputusan Pilihan Raya

48

Seorang birokrat kanan di Pakistan telah berkata beliau membantu menipu pilihan raya Pakistan, seminggu selepas pengundian yang dicemari dengan dakwaan manipulasi tidak menghasilkan pemenang yang jelas.

Pada hari Sabtu, Liaqat Ali Chattha, pesuruhjaya bandar garrison Rawalpindi, di mana tentera berkuasa negara itu mempunyai ibu pejabat, berkata beliau akan menyerahkan dirinya kepada polis dan berundur daripada jawatannya.

“Kami menukar yang kalah kepada pemenang, membalikkan margin 70,000 undi di 13 kerusi DUN,” katanya kepada pemberita, turut membabitkan ketua suruhanjaya pilihan raya dan hakim tertinggi negara.

Menurut Dawn News Pakistan , pesuruhjaya itu mengakui dia “sangat terlibat dalam jenayah serius seperti penipuan pilihan raya mega 2024” dan berkata bahawa “menikam negara dari belakang” tidak membenarkan dia tidur.

“Saya harus dihukum atas ketidakadilan yang saya lakukan dan orang lain yang terlibat dalam ketidakadilan ini juga harus dihukum,” tambahnya.

Selepas pengumuman Chattha, penguasa kanan operasi polis Rawalpindi, Kamran Asghar, memberitahu Dawn bahawa pesuruhjaya itu belum ditangkap kerana tiada kes difailkan terhadapnya.

Sementara itu, suruhanjaya pilihan raya Pakistan menolak dakwaan Chattha, tetapi dalam satu kenyataan berkata ia akan “mengadakan siasatan”.

Dalam siaran berita, badan pemantau pilihan raya itu juga berkata tiada seorang pun pegawainya pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada Chattha untuk “perubahan dalam keputusan pilihan raya”.

Tetapi kumpulan advokasi terkemuka, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan, berkata bahawa pengakuan ini mendedahkan “penglibatan birokrasi negara dalam penipuan di Pakistan mula terdedah”. – sumber aje