PAS Negeri Selangor amat prihatin terhadap isu sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang kini telah menimbulkan polemik keresahan di kalangan warga-warga pendidik anak bangsa mutakhir kini. PAS Negeri Selangor amat memandang serius keluhan dan bantahan warga pendidik ini terhadap sistem PBS kerana dikatakan ianya akan menambahkan bebanan tugas terhadap tugasan yang sediaada. PAS Negeri Selangor turut mengutuk tindakan zalim terhadap penukaran guru-guru yang membantah sistem ini ke kawasan pendalaman dan sebagainya dengan alasan yang tidak munasabah.
(http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/guru-ditukar-kerana-bantah-pbs-buat-rayuan-anggap-pemindahan-secara-paksaan)


.
PAS Negeri Selangor tidak mahu pihak Kementerian Pendidikan sekali lagi terburu-buru untuk melaksanakan sistem PBS ini selagi ianya tidak digarap dengan baik supaya memberi manafaat kepada semua pihak. PAS Negeri Selangor juga tidak mahu berlakunya pembaziran wang rakyat disebabkan perlaksanaan dasar-dasar baru akhirnya hanya menjadi projek gajah putih yang hanya memberi keuntungan kepada kroni dan merugikan rakyat.
PAS Negeri Selangor turut menempelak sikap angkuh Menteri Pendidikan Kedua, Dato’ Seri Idris Jusoh yang meminta supaya para warga pendidik tidak perlu berasa risau dengan perlaksanaan dasar PBS ini bermula 1 April 2014 melainkan memberi tumpuan untuk melaksanakan tugasan mereka sahaja (http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/warga-pendidik-tidak-harus-bimbang-terhadap-pbs-kata-idris-jusoh). Adakah Idris Jusoh pernah mengalami situasi pembelajaran yang semakin membebankan pihak warga pendidik masa kini? Adakah pihak Menteri pernah menyelami keperitan yang perlu dilalui oleh para guru-guru ini untuk mendidik anak bangsa sendiri? Pernahkah diberi ruang dan peluang kepada pihak warga pendidik ini memberikan penghujahan bantahan mereka terhadap isu ini?
PAS Negeri Selangor sekali lagi mempertegaskan supaya Pihak Kementerian Pendidikan menangguhkan dahulu cadangan perlaksanaan dasar PBS ini dan membuka ruang perbincangan dengan pelbagai pihak yang terbabit dengan bidang pendidikan dan wakil daripada parti-parti politik untuk melihat keperluan dilaksanakan dasar ini samaada boleh memberikan manafaat atau mudarat.. PAS Negeri Selangor tidak mahu lagi melihat wang rakyat sekali lagi diboroskan dengan dasar yang ‘tidak cukup masak’ yang akhirnya akan merugikan rakyat jelata.
**** Kenyataan Media Y.B. Tuan Zaidy Bin Abdul Talib, Ketua PeneranganBadan Perhubungan PAS Negeri Selangor, merangkap ADUN Taman Templer, Selangor




























