PASTI DUN Seberang Takir Rangkul Juara Keseluruhan Alam Ria

446

KUALA NERUS – DUN Seberang Takir muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Alam Ria PASTI Kawasan Kuala Nerus 2025 selepas mendominasi beberapa kategori utama dalam acara yang berlangsung meriah.

Acara tahunan itu bertujuan mencungkil bakat murid dalam bidang syarahan, seni suara, hafazan dan pengucapan awam, di samping membentuk jati diri dan semangat ukhuwah dalam kalangan pelajar.

Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Hamidi bin Harun berkata, Program Alam Ria adalah wardah untuk mencungkil bakat anak-anak PASTI dan mendidik mereka untuk menjadi insan yang berani untuk berhadapan dengan cabaran lain di masa akan datang.

“kita boleh lihat wajah cerita anak-anak kita (peserta) yang pastinya akan menjadi penyejuk mata dan insyaAllah akan menjadi harapan ummah pada masa hadapan,

“Kita rakamkan penghargaan kepada para guru PASTI yang mampu mendidik anak-anak PASTI dengan sebaiknya walaupun bayaran mereka tidak setanding guru ditempat lain,” ucap beliau sewaktu merasmikan program tersebut pada Sabtu 6 September.

Tambah Hamidi lagi, kesungguhan para guru yang ikhlas mendidik pelajar PASTI telah menjadikan anak-anak PASTI semakin hebat seiring dengan peredahan zaman.

Program yang diadakan di Komples Tarbiyah At-Taqwa Batu Enam (KOMTQ) dengan penyertaan sebanyak 11 acara daripada empat DUN dalam Kuala Nerus, bermula pada jam 8.30 pagi, disusun bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa memberi sokongan moral kepada anak-anak.

Penyandang Juara Keseluruhan dimenangi PASTI DUN Seberang Takir apabila mereka berjaya menjadi johan dalam empat daripada 11 acara keseluruhan.

Beberapa DUN lain turut cemerlang dalam acara tertentu. DUN Bukit Tunggal menunjukkan prestasi konsisten dengan kemenangan dalam kategori Pidato, Hafazan Lelaki dan Perempuan, serta Sajak Perempuan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri, turut hadir, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Ridhuan bin Abdul Karim.

Pertandingan Alam Ria PASTI terus menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri dan sahsiah Islam dalam kalangan murid PASTI sebagai persiapan awal melahirkan generasi pelapis yang unggul.