Pasaraya Wakaf Akan Siap Tahun Depan

132

Oleh : Nooreni Abu Bakar/ Foto: Media Dungun

DUNGUN – Pasaraya Wakaf Ummah yang dibangunkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan membantu memacu ekonomi rakyat, dijangka siap tahun depan.

Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, premis perniagaan yang sepatutnya siap pada September 2020, terlewat kerana kerja-kerja pembinaanya tertangguh ekoran pandemik Covid-19.

“kita sasarkan untuk menyiapkan bumbung pasaraya yang dianggarkan bernilai RM1. 4 juta dan petang ini sahaja kita telah berjaya mengumpulkan sumbangan lebih RM100, 000,” katanya.

Menteri Air dan Alam Sekitar itu menjelaskan demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dana Wakaf Pasaraya Fasa Dua, di tapak gedung berkenaan di Kampung Pak Sabah, pada Ahad 3 Oktober.

Majlis yang turut disaksikan oleh Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan (LEHPU), PAS Pusat, Dato’ Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali, Yang Dipertua PAS Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, Bendahari dan Ketua Penerangan, PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Menurut Tuan Ibrahim, apabila pasaraya tersebut siap kelak, ia akan menggerakkan ekonomi penduduk khususnya di kawasan sekitar Dungun dan menjadi pemangkin aktiviti ekonomi.

“ia juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 500 orang kepada masyarakat setempat dan juga mampu menjana ekonomi hiliran di kawasan sekitar.

“Jadi kita menyeru bukan sahaja ahli PAS tetapi juga orang ramai supaya menyumbang untuk menyiapkan pasaraya ummah ini,” katanya.

Sementara itu Ustaz Dr Khairuddin menyeru orang ramai agar menyumbang kepada dana wakaf pembinaan pasaraya itu.

“Melalui dana wakaf ini, orang ramai boleh berwakaf di www.wakafummah.com atau terus ke akaun Maybank Dana Sanabil (5640 2540 4697).

” Ayuh sama-sama memyumbang. Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi Ust Muhammad Al-Amin (SUK Lehpu) di talian 01120507700.” kata beliau.