Pasaraya Pertama Berkonsepkan Wakaf

23635

Oleh : Mohd Asraf dan Mohd Lukman

DUNGUN – PAS mencipta sejarah hari ini apabila bangunan pasaraya yang bakal dibina adalah yang pertama di Malaysia menggunakan konsep wakaf.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Cikgu Haji Wan Hapandi Wan Nik berkata, tiada siapa pernah terlintas dalam pemikiran, PAS dapat membangunkan premis tersebut.

“Siapa pernah terfikir parti PAS yang sering dikatakan sebagai parti miskin dan tidak berduit tidak boleh membina pasaraya.

“Tetapi hari ini PAS ingin mengubah persepsi tersebut dengan melancarkan projek bernilai RM12 juta tetapi apa yang membezakan projek ini dengan projek lain adalah berbentuk wakaf dan ia akan memberi manfaat kepada rakyat utamanya,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, berkata demikian ketika ditemui di majlis Perasmian Pembinaan Pasaraya itu di sini, hari ini.

Katanya, ia adalah sebahagian dari jihad ekonomi orang Islam dimana rakyat akan menerima banyak faedah apabila berjaya dilaksanakan kelak.

Sementara itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, orang Islam pada masa lalu telah mendahului orang barat dalam kegiatan ekonomi.

“Orang Islam pada zaman dahulu bukan sahaja mementingkan dakwah bahkan ekonomi pada zaman tersebut melangkaui ekonomi orang barat.

“Mereka bukan berduit tetapi mereka mengamalkan konsep wakaf dan bersedekah,” kata beliau semasa berucap merasmikan Majjlis Pelancaran Pembinaan itu.

Bangunan pasaraya satu tingkat setengah itu akan dibina di Mukim Kuala Dungun berdekatan dengan Hospital Daerah Dungun yang akan siap tidak lama lagi.

Pasaraya wakaf ini bakal memberi manfaat kepada hampir 20 ribu orang warga Dungun dengan kerjasama rakan strategik, Sabasun Hyperruncit.

PAS Dungun Dapat Manfaat 10 Peratus

Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat , Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berkata, kesediaan PAS Dungun menjadi ‘bapa angkat’ kepada projek pembangunan Pasaraya Wakaf PAS pusat akan dibalas dengan mendapat keuntungan 10 peratus.

“Saya nak umumkan hari ini, oleh kerana PAS Dungun bersedia menjadi bapa angkat kepada projek ini membantu kami,

“maka 10 peratus daripada keuntungan akan diberikan kepada badan tersebut setelah siap pasaraya ini,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Beliau berharap, manfaat yang diberikan juga akan memberi semangat kepada penduduk khususnya sekitar Dungun untuk terus menyumbang agar pasaraya tersebut, dapat disiapkan dengan segera.

Ustaz Khairuddin juga menjangka, nilai pasaran pasaraya terbabit bakal meningkat, apabila siap dibina akan meningkat menjelang Tahun 2020.

“Dengan modal RM 12 Juta, kita mendapat satu hartanah milik umat dan masyarakat bernilai RM 20 Juta dan manfaatnya akan diberikan kepada Parti PAS untuk gerak kerja perjuangan politik Islam,” tegas beliau.

Majlis perasmian pelancaran pembinaan pasaraya bermula jam 2.30 petang dan berakhirdua jam kemudian.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh, Ahli Parlimen Dungun Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Pemilik Sabasun Sendirian Berhad Che Salmi Che Ibrahim.