PAS Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa Lemas

1268

KUALA TERENGGANU- PAS ucap takziah kepada keluarga mangsa kejadian lemas yang berlaku pada jam 6.30 petang semalam di Muara Sungai Telemong.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Negeri Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata, beliau dan seluruh kepimpinan parti bersama merasai rasa kesedihan yang dialami oleh Encik Mohamad Ismail, sekeluarga.

“Siapa yang tidak sedih kehilangan tiga orang anak sekaligus (Umar Iskandar Mohd), 21, (Khairil Firdaus) 17, (Khalif Naim) 16.

“Apapun oleh kerana itu takdir Allah SWT kita ucapkan Innalillah Waiina Ilaihirojiun, mudah-mudahan Allah SWT menjadikan anak-anak ini sebagai saham yang sangat besar kepada Che Mat (Mohd) sekeluarga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menziarahi kematian tiga beradik berkenaan, di Kampung Kuala Telemong, pada petang Khamis, 28 Mei.

Kamaruzzaman turut berharap agar apa yang terjadi itu menjadi iktibar dan pedoman kepada seluruh umat Islam.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan orang ramai yang membantu dalam usaha mencari dan menyelamat sehingga ketiga-tiga mangsa ditemui.

“Terima kasih juga kepada ‘frontliner’ yang bertungkus lumus semenjak malam tadi berkampung (di lokasi kejadian).

“(Terdiri) daripada Bomba, Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan juga seluruh warga kampung yang memberi kerjasama yang sangat baik,” ujarnya.

Beliau menambah, ketiga-tiga beradik itu masing-masing ditemui pada jam 9.45 pagi, 11.35 dan jenazah terakhir pada jam 12.40 tengahari.

Ketiga-tiga mangsa yang terkorban itu selamat dikebumikan dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Nering, Kampung Rawai, Marang pada jam 6 petang.