PAS Tidak Amalkan Politik Murahan

72

KUALA TERENGGANU – PAS tidak mengamalkan politik murahan dengan memberikan janji gula-gula ataupun merasuah pengundi agar berpihak kepada parti itu bagi membentuk kerajaan dengan mudah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Yang Dipertua PAS (YDP) Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata pihak lawan tidak sewajarnya mempolemikkan bahawa pemberian bantuan dana i-Belia, Pencen Rakyat adalah rasuah bagi meraih sokongan.

“Pemberian ini sudah dirancang dan sudah direncanakan terlebih dahulu cuma kebetulan ia diagihkan pada musim berhadapan pilihanraya.

“Sedangkan pemberian dana ini tidak meletakkan syarat mesti memihak kepada kita sebagai suatu syarat, hendak mengundi sesiapa sahaja itu terpulang, kita beri sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Buletin Online, selepas merasmikan Majlis Hafl Al-Takrim, di Duyong Covention Centre, Duyong Marina & Resort Terengganu, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan PAS Terengganu sangat menitikberatkan soal kehidupan rakyat, kerana itu agihannya adil tanpa pilih bulu.

“Ketika saya diberi peluang menyampaikan ucapan di Ajil ketika majlis agihan dana ini diadakan, saya tidak bercakap panjang mengenai bantuan ini dan tidak menjadikan perkara ini sebagai bahan kempen pilihan raya,” ujarnya.