PAS Terengganu Jawab Tuduhan Khianat ‘Pelarian Politik

87

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menempelak seorang aktivis ‘pelarian politik’ yang sudah ditolak oleh partinya, tuduhan khianat cuba membangkitkan persepsi negatif terhadap projek Pengawalan Hakisan Pantai Mengabang Telipot.

Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, dakwaan yang dilemparkan itu tidak berasas, cuba menimbulkan keraguan terhadap sebuah projek kerajaan negeri yang sedang berjalan mengikut jadual.

Ustaz Hishamuddin menjelaskan, projek terbabit bernilai RM69.9 juta dianugerahkan pada 24 Julai 2023, melibatkan pembinaan 16 unit pemecah ombak (breakwater) sepanjang jajaran lapan kilometer sehingga belakang Institut Teknologi Petronas (INSTEP) di Batu Rakit.

“Sehingga 23 November 2025, kemajuan sebenar projek adalah 50.28 peratus berbanding jadual 47.57 peratus. Ia berada di depan jadual. Kerja dihentikan hanya kerana musim Monsun Timur Laut, selaras arahan Jabatan Laut,” jelasnya.

Hishamuddin turut mempersoalkan kenyataan Miqdad Zakaria yang menggelarnya ‘malu kokram mung wat kije gini’ tanpa asas yang kukuh.

“Saya nak tanya, apa sebenarnya yang memalukan? Projek berjalan baik, lebih laju daripada jadual. Pada 4 November 2025, JPS sendiri keluarkan surat penghargaan bertajuk ‘Surat Penghargaan Kemajuan Positif Prestasi Projek’. Itu fakta,” soalnya.

Menurut beliau GPQ telah meningkatkan keupayaan operasi dengan menggunakan lima buah barge untuk membawa batu dari Kemaman dan Paka sebelum MTL, selain mendapatkan bekalan darat dari GPQ Kuari Sungai Serai dan Kuari Lundang, Batu Rakit.

“Jengkaut juga ditambah sehingga 13 buah dan digilirkan bagi memastikan penyenggaraan optimum. Ini usaha kami mempercepatkan kerja supaya kesan hakisan dapat diminimumkan,” ujarnya.

Hishamuddin berkata, pemecah ombak yang dibina dijangka menyamai keberkesanan model yang terbukti berjaya di Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Tengah.

“Kita bukan saja buat kerja, kita pastikan hasilnya memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat di kawasan jajaran ini,” tegasnya.

Beliau menyifatkan serangan Miqdad sebagai usaha politik dangkal yang cuba memainkan persepsi tanpa memahami fakta teknikal projek