PAS Terengganu dan Usaha Menyuburkan Pendidikan

3140

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Islam muncul semula sebagai kuasa global yang berpengaruh dalam politik sepanjang tahun 1970 dan 1980an. Fasa ini sangat berkesan dan menarik untuk dikaji tentang peranan PAS dalam menggerakkan pendidikan di negara ini. Kebangkitan Islam merupakan gelombang kesedaran untuk menghayati semula Islam, ianya mucul dalam dekad 70an dan 80an dan telah memberikan kesan yang besar kepada rakyat dan negara ini. Fenomena ini bersifat sejagat dan telah memberikan kesan yang besar kepada pergerakan Islam di seluruh dunia termasuk PAS di Malaysia.

PAS telah berjaya menguasai Terengganu dalam pilihanraya umum pada tahun 1959. Kerajaan PAS Terengganu yang memerintah dengan lebihan kerusi yang kecil tidak dapat memerintah dengan berkesan kerana terlalu banyak halangan serta sabotaj yang berlaku. Namun PAS telah berjaya merancakkan pendidikan Islam seperti menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Timur tengah. PAS telah dijatuhkan dengan perancangan licik kerajaan Perikatan dan hanya bertahun dua tahun lebih sahaja, maka tempoh yang singkat ini tidak banyak pembaharuan dan sumbangan dalam pendidikan yang telah dapat dilaksanakan.

PAS telah berjaya menawan kembali Terengganu dalam pilihanraya tahun 1999 setelah kehilangan negeri itu pada tahun 1961. PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menterjemahkan aspirasi parti mereka untuk ‘Membangun Bersama Islam’, termasuk di sektor pendidikan. Salah seorang tokoh penting PAS ialah almarhum Dato’ Haji Harun Taib, yang juga merupakan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat telah dilantik sebagai Exco Pendidikan. Potfolio ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan PAS untuk menyemarakkan pendidikan Islam sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti itu yang juga terkandung di dalam manifesto Pilihanraya mereka. Di antara institusi pendidikan yang telah ditubuhkan ialah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Islam Sains Terengganu (KIST), KOSTAQ, Kolej Darul Quran Islamiyyah (KUDQI).

Masjid RusilaDi Terengganu juga yang terkenal kental dengan budaya pengajian Islam dan sekolah pondok telah menyaksikan ramai tokoh-tokoh pondok yang menyertai PAS. PAS mendapat manfaat yang besar daripada kemasukan alim ulama kepada parti tersebut apabila dapat memanfaatkan premis madrasah atau pun pondok sebagai markas mereka. Juga untuk tempat penganjuran program-program parti sama ada program dalaman parti atau program berorientasikan kemasyarakatan. Dengan memenangi hati ulama pondok ini bermakna PAS juga berjaya menarik anak-anak murid mereka di pondok untuk terlibat sama dengan PAS sebagai kader parti, ataupun sekurang-kurangnya menyokong perjuangan parti tersebut. Apatah lagi pelajar-pelajar pondok yang akan keluar di medan masyarakat selepas tamat belajar akan menjadi tokoh masyarakat seperti imam dan lebai kampong.

PAS semenjak awal lagi menubuhkan sekolah agama rakyat melalui pendokong-pendokongnya di seluruh Negara termasuk di Sabah terlibat dalam usaha membina sekolah agama rakyat. Sekolah agama rakyat di negara ini muncul akibat kesungguhan graduan pendidikan Islam dan juga sokongan masyarakat yang merasakan kepentingan pendidikan Islam anak-anak mereka. Di Terengganu , SAR yang ditubuhkan seperti Madrasah Darul Salam, Kuala Terengganu, Sekolah Agama Bersepadu Zainal Abidin Dungun, Maahad Tahfiz Wal Tarbiah Darul Iman, Terengganu, Maahad Tahfiz Wal Taalim Matlail Badrin Setiu, Madrasah Taqwa Padang Luas Besut, Taman Islam di Kemaman.

PAS di semua peringkat telah berusaha untuk menubuhkan sekolah rendah Islam bagi mengembangkan sistem pendidikan Islam di negara ini dan mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli mereka sendiri. PAS juga telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS bagi menyelaraskan kurikulum dan pemantauan yang berterusan terhadap sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh PAS di semua peringkat atau ahli mereka secara individu. Dewan Ulama PAS Terengganu telah menyelaraskan sekolah rendah Islam milik PAS Terengganu yang dikenali sebagai ‘DAR’. Setiap PAS kawasan di Terengganu diarahkan untuk membangunkan sekolah rendah Islam di kawasan mereka sebagai kesinambungan kepada pendidikan pra sekolah milik PAS yang telah aktif berfungsi di negeri tersebut.

PAS juga telah mengambil inisiatif untuk membina pendidikan peringkat menengah bagi mewujudkan kitaran pendidikan yang ditaja oleh PAS terutama selepas PAS dipimpin oleh kepimpinan ulama. Sekolah-sekolah menengah Islam yang ditubuhkan oleh PAS ini juga berfungsi untuk mencetak kader-kader parti dan menjadi pangkalan program PAS.

Di Terengganu, Institut Berakan atau Maahad Ikhwan yang ditubuhkan pada tahun 1976 di Mengadang Akar, Kuala Terengganu. Maahad ini pada pertengahan dekad 1970an telah menjadi markas kegiatan pelajar Islam di Terengganu, termasuk menjadi pangkalan kepada kegiatan ABIM di Terengganu. Kedudukan institut Berakan terus menjadi markas kaderisasi kepada PAS apabila aktivis ABIM Terengganu menyertai PAS apabila Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada tahun 1982.

Kepimpinan PAS Terengganu pula pada tahun 1985 dengan kesedaran untuk mewujudkan sebuah institusi yang melahirkan pejuang pelapis PAS pada masa akan datang telah menubuhkan Maahad Darul Quran (sekolah menengah). Maahad ini telah ditubuhkan di Masjid Kampung Rusila Terengganu, di mana masjid ini telah terkenal dengan tapak gerakan PAS di Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Maahad ini semakin berkembang dengan menerima pelajar-pelajar dari seluruh negara dan juga menerima guru-guru lulusan dalam dan luar negara.

Maahad Darul Quran Rusila telah berjaya menghantar pelajarnya ke universiti-universiti di Yaman, Sudan, Syiria, dan juga kolej Universiti seperti KUDQI, KUSZA. Sehingga kini ramai pelajarnya telah berkhidmat dalam masyarakat sebagai guru agama, pendidik, pendakwah, juga Berjaya memperolehi ijazah doktor falsafah (PHd) dari dalam dan luar negara.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)