PAS teguh hadapi Umno-BN

861

SETIU: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib mengingatkan ahli parti agar tetap teguh dengan pendirian dan Islam apabila berhadapan dengan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, ahli PAS diminta tetap teguh serta tidak goyah dalam menghadapi perjuangan Islam berhadapan dengan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Umno-BN akan ‘menggula-gulakan’ rakyat dengan pelbagai janji serta ‘habuan’ yang sementara.

“Bila kita (PAS) berjumpa dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), kita (ahli) kena teguh dengan Islam dan tidak terpengaruh dengan ‘gula-gula’ yang dijanjikan oleh mereka (BN) kerana berbentuk sementara sahaja,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ijtima’ Kepimpinan PAS Terengganu 2010 Kali Ke-14 di perkarangan Surau Tanjung, Batu Rakit, Setiu, hari ini.

Katanya, perjuangan Islam PAS perlu diteruskan meski pun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.

Menurut Ustaz Harun perjuangan PAS bagi menegakkan Islam ‘membujur lalu, melintang patah’ sama ada gugur syahid atau mencapai kemenangannya.

Justeru itu, katanya perjuangan Islam tidak perlu bimbang dengan kemenangan kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT sama ada di dunia dan akhirat.

“Kita (PAS) berjuang Islam jangan bimbang dengan kemenangan kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT.

“Jika kita (PAS) tidak menang di dunia tetapi tetap akan diberi kemenangan oleh Allah Ta’ala di akhirat kelak, Insya’Allah,” ujarnya dihadapan 8,000 para hadirin.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat mahukan setiap ahli parti bekerja dengan cemerlang serta bersatupadu bagi mencapai kemenangan Islam.

Katanya, bila tarikh pilihan raya itu tidak penting sama ada dekat atau jauh kerana usaha bagi mencapai kemenangan diteruskan.

“Kita(PAS) dikehendaki bekerja dengan cemerlang dan bersatupadu. Pilihan raya itu tidak penting sama ada dekat atau jauh. Tapi yang penting terus bekerja untuk capai kemenangan,” jelasnya.

Menurutnya, hanya dengan kemenangan Islam rakyat akan mendapat kebaikan serta rahmatNya.

Ijtima Kepimpinan PAS tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan hadir sama Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali.